Jumaat, 23 Oktober 2020
13/10/2020 06:21 PM

BANGI, 13 Okt -- Penyedia peralatan perubatan dan penjagaan kesihatan, LKL International Bhd (LKL) menyasar mengekalkan pertumbuhan hasil dua digit bagi tahun kewangan berakhir 30 April, 2021. 

Pengarah Urusannya Lim Kon Lian berkata aktiviti dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan dijangka terus rancak berikutan permintaan kukuh terhadap sumber perubatan bagi memerangi pandemik COVID-19.

“Semasa pandemik, kami mengembangkan perniagaan kami dalam segmen dagangan dengan membekalkan peralatan perubatan, sarung tangan dan peralatan perlindungan peribadi. 

“Kami memperoleh kontrak dari China, Maldives, Bangladesh dan beberapa negara dari benua Afrika,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa syarikat itu, di sini, hari ini.  

Pada Tahun Kewangan 2020, hasil LKL meningkat 47.8 peratus kepada RM54.95 juta. Syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.30 juta berbanding  kerugian bersih RM2.50 juta pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, semasa mesyuarat tersebut, LKL memperoleh kelulusan pemegang saham untuk melaksanakan tawaran saham persendirian dan skim opsyen saham kakitangan.  

Tawaran saham persendirian itu, yang dicadangkan pada 17 Julai, 2020, melibatkan terbitan sehingga 85.8 juta saham berjumlah tidak lebih daripada 20 peratus saham yang diterbitkan pada harga indikatif RM1.10 sesaham.

Lim berkata syarikat itu mengunjur mengumpul RM94.3 juta dan RM26.5 juta akan diperuntukkan bagi pengembangan dan perbelanjaan modal.

Mengenai pelan pengembangannya, beliau berkata, RM13 juta akan digunakan untuk membeli dan mendirikan dua unit bangunan kilang baharu bersebelahan yang akan digunakan bagi pembuatan dan pemasangan katil perubatan/penjagaan kesihatan, peralatan dan aksesori, pejabat pengeluaran, rumah gudang dan produk siap.

“Kumpulan juga akan melabur RM9.5 juta daripada hasil untuk membina sambungan struktur keluli tiga tingkat di bangunan kilang sedia ada dan memasang tali sawat untuk mengautomasikan powder coating.

“Sebanyak RM4 juta lagi diperlukan untuk membeli mesin,” katanya. 

Susulan COVID-19, katanya, katil perubatan mendapat permintaan tinggi daripada hospital dan pusat perubatan dengan LKL menerima tempahan lebih daripada 750 katil yang akan dihantar dalam tempoh 14 bulan akan datang.

“Pengembangan itu membolehkan kami meningkatkan kapasiti daripada 5,000 katil setahun kepada kira-kira 6,500 katil,” kata Lim.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan