Sabtu, 26 September 2020
EKONOMI
08/08/2020 06:32 PM

BANGI, 8 Ogos -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petronas Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB) bagi memanfaatkan keupayaan dan kekuatan masing-masing dalam membina satu ekosistem yang berkesan untuk pengkomersilan teknologi tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata, MoU ini bukan sahaja menyediakan peluang untuk terlibat dengan teknologi yang dibangunkan oleh Petronas, tetapi berupaya dalam menyokong syarikat tempatan.

“Melalui proses kerjasama ini, kita juga akan dapat membantu usahawan-usahawan tempatan untuk bekerjasama dalam ekosistem Petronas dan MTDC agar mereka mampu membangunkan teknologi yang boleh digunakan Petronas atau mengkomersilkan teknologi Petronas bagi digunakan di luar ekosistem Petronas.

“Kita melihat kerjasama ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Petronas dan MTDC malahan ia dilihat sebagai platform bagi membangunkan usahawan tempatan untuk menembusi pasaran dalam negara dan kemudiannya membawa teknologi itu ke luar negara,” katanya kepada media selepas pemeteraian MoU itu hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Norhalim bagi pihak MTDC, dan PTVSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mahpuzah Abai, dengan disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin. 

Turut hadir ialah Pengerusi MTDC Tan Sri Abd Rahman Mamat, Naib Presiden Kanan Strategi Korporat Petronas Mazuin Ismail dan Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas Samsudin Miskon.

Menurut Norhalim lagi, MoU tersebut akan memberi tumpuan kepada teknologi yang diperlukan bukan sahaja dalam ekosistem Petronas tetapi juga boleh digunakan oleh industri lain seperti pertanian.

“Jadi apabila kita dapat bekerjasama dengan sebuah syarikat teknologi yang terutama di dunia (Petronas), kita akan melihat ianya akan dikembangkan kepada banyak teknologi yang releven untuk IR 4.0.

“Kita nak gunakan platform ini untuk menjemput usahawan tempatan yang mempunyai teknologi yang mungkin relevan bagi kegunaan dalam ekosistem Petronas seperti teknologi hijau, teknologi yang melibatkan data besar, robotik termasuk dron dan benda-benda yang boleh membantu syarikat di dalam ekosistem Petronas,” katanya.

Sementara itu, Khairy dalam ucapannya sebelum menyaksikan upacara pemeteraian MoU itu berkata, antara aspek MoU hari ini adalah berkenaan usaha pembiayaan dalam National Technology Innovation Sandbox (NTIS) melalui Dana Padanan Korporat. 

"Melalui NTIS, penyelidik, inovator, pemula niaga dan usahawan berteknologi tinggi akan dapat menguji dan mengakses barangan serta perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penghantaran dalam persekitaran sebenar.

"Melalui dana ini dengan peruntukan padanan sehingga RM5 juta (daripada setiap pihak), kedua-dua pihak dijangka akan membiayai kos penyelidikan dan pembangunan, atau hasil inovasi tempatan, terutamanya dari Petronas, daripada peringkat idea sehingga ke pengkomersilan," katanya. 

MTDC merupakan sebuah agensi pembangunan dan pengkomersilan teknologi di bawah MOSTI manakala PTVSB merupakan bahagian pengkomersilan teknologi Petronas.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan