Isnin, 10 Ogos 2020
EKONOMI
02/08/2020 09:12 PM

SEREMBAN, 2 Ogos  -- UDA Holdings Berhad (UDA) memperuntukkan insentif sebanyak RM10 juta bagi membantu kira-kira 1,500 usahawan bumiputera yang menyewa dan berniaga di premis pusat beli-belah seliaannya, di bandar-bandar utama seluruh negara.

Pengerusinya Datuk Jalaluddin Alias berkata, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, UDA bertanggungjawab membantu usahawan bumiputera, khususnya ketika negara sedang berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

Katanya, antara pusat beli-belah seliaan UDA iaitu Angsana Mall Johor Bahru, Angsana Mall Ipoh, Angsana Seremban dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur.

"Insentif tersebut adalah seperti pengecualian satu bulan sewa kepada penyewa yang menjual barangan  tidak perlu, 50 peratus diskaun kepada penyewa yang menjual barangan perlu, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, pengurangan sewa 20 peratus turut diberikan kepada penyewa setelah tamat tempoh PKP sehingga September manakala penyewa tetap dibenarkan mempunyai sewa tertunggak selama tiga bulan sehingga 30 Sept nanti,” katanya kepada pemberita selepas program Korban Perdana UDA di (UTC) Seremban di sini, hari ini.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berharap, menerusi insentif ini ia dapat merangsangkan perniagaan dan ekonomi usahawan berkenaan.

Sempena program tanggungjawab sosial korporat UDA Cares-Enriching Life itu, 50 asnaf miskin dan ahli komuniti masing-masing menerima sekilogram daging korban yang disampaikan Jalaluddin.

"Sumbangan ini adalah antara usaha UDA menyantuni komuniti setempat dan dalam masa sama mengukuhkan ukhwah sesama ahli komuniti,” katanya.

Program Korban Perdana UDA 2020 itu dijalankan serentak di seluruh negara mulai Jumaat sehingga hari ini, menyasarkan surau dan masjid terpilih di beberapa negeri.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan