Khamis, 06 Ogos 2020
EKONOMI
02/08/2020 02:07 PM

Oleh Hamdan Ismail

KUCHING, 2 Ogos -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional Sarawak  bakal mendapat suntikan baharu dengan pelantikan Khushiri Salleh sebagai pengurus negeri yang berkuat kuasa esok.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata Khushiri merupakan  seorang yang mempunyai pengalaman luas dan mampu membawa TEKUN Nasional Sarawak ke satu tahap yang cemerlang.

"Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang berkaitan pengurusan dan ini amat bertepatan dengan tugas baharu beliau di TEKUN Nasional Sarawak, " katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Wan Junaidi, pelantikan Khushiri itu diharap dapat memperkukuhkan lagi operasi dan perkhidmatan TEKUN di Sarawak secara keseluruhannya.

“Saya juga berharap beliau mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan lebih berkesan kepada masyarakat peniaga khususnya kepada usahawan PKS dan usahawan mikro,"  katanya.

Sementara itu, Khushiri, 60, ketika dihubungi Bernama hari ini merakamkan penghargaan tinggi kepada Wan Junaidi di atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk menerajui TEKUN Nasional Sarawak.

Beliau yang mempunyai pengalaman hampir 40 tahun melalui perkhidmatannya dalam industri perhotelan, pelancongan, pengiklanan, insurans dan perniagaan kreatif, selain dalam sektor kerajaan menganggap pelantikannya sebagai satu amanat besar yang akan dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“TEKUN Nasional merupakan sebuah agensi yang menarik dan saya percaya keupayaannya untuk membantu golongan peniaga kecil khususnya peniaga kecil Bumiputera, apatah lagi dalam keadaan mereka dihambat masalah pandemik COVID-19 sekarang,” katanya.

Anak kelahiran Kampung Santubong itu yang turut aktif dalam beberapa persatuan juga bercadang untuk melawat kesemua 16 cawangan TEKUN Nasional di negeri ini sebagai langkah pertamanya untuk memahami lebih mendalam masalah dan potensi mereka bagi membantu komuniti peniaga kecil.

TEKUN Nasional merupakan salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang berperanan menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada Bumiputera untuk memula dan memajukan lagi perniagaan mereka.

-- BERNAMA

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan