Sabtu, 26 September 2020
EKONOMI
23/07/2020 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi meningkatkan penyertaan belia dan siswazah dalam bidang perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata antara program yang telah dikenal pasti adalah SME Bank 'Young Innovative Entrepreneur Challenge' (YIEp Challenge).

"Matlamat program ini adalah bagi memupuk usahawan muda yang berinovasi dan kreatif," katanya pada majlis pelancaran Hom Malaysia, sebuah platform hartanah dalam talian di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata berkata usaha lain yang turut dirancang adalah program keusahawanan teknologi 'Technopreneurship For Fresh Graduates' bagi memperkasan keupayaan dan kapasiti usahawan serta meningkatkan penggunaan teknologi dalam perniagaan. 

Program rintis itu adalah kerjasama antara MEDAC dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) yang melibatkan 400 peserta muda daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan.

Menurutnya, sebanyak 20 peratus daripada kumpulan itu akan dibimbing menjadi usahawan tekno manakala 80 peratus pula akan mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat berteraskan teknologi.  

Selain itu, beliau turut menggesa golongan muda untuk turut merebut peluang menceburi sektor e-panggilan (e-hailing) dalam memperkenalkan perkhidmatan inovatif dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan. 

“Kini, banyak syarikat pemula niaga yang menawarkan khidmat e-hailing di Malaysia berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan dimudahcara oleh kerajaan," katanya. 

Wan Junaidi berkata antara syarikat itu yang terkenal di Malaysia ialah Fave, EasyParcel, TheLorry, Carsome, Moovby, Exabytes, SEA Gamer Mall dan Aerodyne.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan