Ahad, 05 Julai 2020
EKONOMI
30/06/2020 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun  -- Malaysia mencatatkan pertumbuhan produktiviti pekerja sebanyak 2.1 peratus kepada RM93,973 pada 2019 berbanding RM92,018 pada 2018, menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 4.3 peratus pada 2019, kata Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

MPC dalam Laporan Produktiviti Nasional 2020 berkata dari segi produktiviti buruh mengikut nilai tambah satu jam, pertumbuhan adalah 2.2 peratus pada 2019 berbanding 3.4 peratus pada 2018.

Lima sektor utama secara umumnya meningkatkan produktiviti buruh sepanjang 2019, dengan produktiviti buruh sektor pembinaan pada nilai per pekerjaan meningkat 3.3 peratus kepada RM45.293, diikuti oleh sektor perkhidmatan (2.9 peratus kepada RM89.513) dan sektor pembuatan (1.7 peratus hingga RM123,896).

Produktiviti tenaga kerja pertanian dengan nilai tambah per pekerjaan mencatat pertumbuhan 0.4 peratus kepada RM54,212, manakala sektor perlombongan dan kuari mencatat sedikit penurunan pada 1.6 peratus kepada RM1.34 juta.

Pada suku pertama 2020, Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK 0.7 peratus, dan penurunan selanjutnya dapat dijangkakan pada suku kedua 2020 disebabkan oleh kesan ekonomi akibat daripada pandemik COVID-19.

MPC berkata tenaga buruh Malaysia meningkat 2.0 peratus kepada 15.6 juta orang pada 2019 daripada 15.3 juta pada 2018, sementara kadar pengangguran kekal stabil pada 3.3 peratus.

Pada suku pertama 2020, kadar pengangguran meningkat kepada 3.5 peratus mencerminkan impak COVID-19 apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan operasi perniagaan bagi membendung penularan pandemik itu.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia mencatat tahap produktiviti US$68,473, di hadapan negara Asia lain termasuk Thailand (US$35,556), Indonesia (US$28,694), China (US$35,604) dan Vietnam (US$13,768).

Bagaimanapun, dalam kalangan negara maju, Singapura terus mencatatkan produktiviti pekerja tertinggi bagi setiap orang yang bekerja pada US$153,124 dengan Amerika Syarikat menduduki tempat kedua pada US$131,783.

Sementara itu, Malaysia meningkatkan kedudukannya ke tangga ke-12 daripada kedudukan ke-15 sebelum ini dalam kalangan 190 ekonomi dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2020 Bank Dunia. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini melancarkan Laporan Produktiviti Nasional 2020, laporan tahunan oleh MPC.

Edisi ke-27 itu bertemakan "Ketahanan Melalui Produktiviti".

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan