Ahad, 05 Julai 2020
EKONOMI
30/06/2020 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun  -- Pembukaan semula hampir semua aktiviti ekonomi sejak Jun merupakan pendahuluan bagi pemulihan perdagangan Malaysia walaupun peningkatannya mungkin dihadkan oleh permintaan luaran yang lemah dalam keadaan ekonomi maju yang masih bergelut menangani penularan pandemik COVID-19, kata seorang ahli ekonomi.

Momentum perdagangan kekal lemah pada Mei di tengah-tengah pembukaan semula berperingkat aktiviti ekonomi ketika negara beralih kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir selama sebulan. 

Malaysia ketika ini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos, 2020, yang membenarkan pembukaan semula hampir kesemua aktiviti ekonomi.

“Ini akan menjadi pelopor bagi perdagangan untuk pulih, walaupun secara perlahan-lahan, kerana COVID-19 masih kekal menjadi sumber cabaran utama kepada rakan dagangan utama kita,” kata Ahli Ekonomi Public Investment Bank Bhd Dr Rosnani Rasul dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Beliau berkata Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada pemulihan perdagangan global yang dipacu antara lainnya oleh daya tarikan ringgit.  

Ketika ini ringgit didagangkan pada paras 4.2820-4.3000 berbanding dolar AS.

Eksport Malaysia pada Mei turun sebanyak 25.5 peratus tahun ke tahun, penguncupan lebih besar berbanding - 23.8 peratus pada April berikutan penurunan dalam semua sektor yang diterajui perlombongan sebanyak 49.1 peratus tahun ke tahun yang terjejas berikutan pengurangan pengeluaran terbaharu oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Ini diburukkan lagi dengan penutupan beberapa pelabuhan di rantau ASEAN berikutan langkah-langkah membendung penularan COVID-19 oleh negara masing-masing dan permintaan terhadap barangan Malaysia juga terjejas oleh aktiviti ekonomi yang perlahan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), zon Eropah dan Jepun. 

Bagaimanapun, lebihan perdagangan melantun semula pada bulan itu kepada RM10.4 bilion, peningkatan 14.7 peratus tahun ke tahun berikutan penurunan besar import berbanding eksport, pemulihan berbanding defisit kecil sebanyak RM3.4 bilion pada April.

Malaysia (eksport Mei: -25.5 peratus) dan Vietnam (eksport Mei: -15.5 peratus) merupakan hanya dua negara di rantau ini yang mengumumkan angka perdagangan pada Mei, dengan China, Thailand, Singapura dan Indonesia masih lagi belum berbuat demikian.

Rosnani berkata rantau ASEAN juga mungkin berdepan cabaran berkaitan perdagangan dalam suku kedua (April-Jun) berikutan permintaan luaran yang lemah terutamanya dari ekonomi maju ekoran penutupan ataupun pengasingan disebabkan COVID-19.

“Pemulihan perdagangan ASEAN mungkin perlahan apabila China kembali semula dilanda kes baharu COVID-19 (di Beijing dan Hubei), yang menyebabkan pihak berkuasanya bersiap sedia kemungkinan melaksanakan semula kawalan pergerakan.” 

Kerajaan China memutuskan untuk tidak menetapkan sasaran tahunan keluaran dalam negara kasar tahun ini, yang pertamanya sejak 2002, yang menandakan ketidakpastian besar disebabkan COVID-19 yang kekal menjadi isu global.

Pemulihan global yang tidak pasti juga telah menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran pertumbuhan global 2020 dengan menurunkannya kepada  -4.9 peratus daripada   -3.0 peratus sebelumnya, satu daripada penurunan besarnya dalam tempoh hanya beberapa bulan di tengah-tengah pemulihan yang lebih perlahan daripada dijangkakan pada awalnya. 

Penurunan mendadak itu adalah disebabkan prestasi perlahan di ekonomi maju seperti AS (-8.0 peratus) Zon Eropah (-10.2 peratus) dan Jepun (-5.8 peratus) walaupun IMF kekal yakin dengan prospek 2021 (+5.4 peratus). 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan