Ahad, 05 Julai 2020
30/06/2020 09:10 AM

KUALA LUMPUR, 29 Jun -- MNRB Holdings Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 27.1 peratus kepada RM132.66 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2020, berikutan prestasi kewangan yang bertambah baik.  

Hasil meningkat kepada RM2.56 bilion daripada RM2.40 bilion dalam tahun kewangan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Din Merican berkata keputusan yang bertambah baik itu adalah hasil daripada prestasi kukuh dalam operasi anak syarikatnya iaitu Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re), Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful IKHLAS Family) dan Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful IKHLAS General).

“Tahun Kewangan 2020 menyaksikan Malaysian Re mencatatkan keuntungan bersih tertingginya dalam tempoh lima tahun. Keputusan ini dicapai meskipun beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang mencabar apabila Malaysian Re menerima kesan daripada beberapa siri kerugian kebakaran domestik dan pendapatan pelaburan rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengenai pelaburan, pendapatan pelaburan bersih kumpulan MNRB meningkat 3.8 peratus kepada   RM360.7 juta dalam Tahun Kewangan 2020 daripada RM347.5 juta pada tahun sebelumnya manakala aset berjumlah RM9.2 bilion berbanding RM8.7 bilion.

“Pendapatan pelaburan kumpulan bertambah baik sepanjang tahun kewangan itu disebabkan terutamanya keuntungan nilai adil dalam bon/sukuk korporat dan kerajaan. 

“Bagaimanapun, dalam suku akhir tahun kewangan, pendapatan pelaburan kumpulan terjejas teruk disebabkan keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu,” katanya.

Mengenai prestasi anak syarikatnya, Takaful IKHLAS mencatatkan pendapatan pelaburan bersih tinggi sebanyak RM261.4 juta berbanding RM250.6 juta dalam Tahun Kewangan 2019.

 Malaysian Re sebaliknya mencatatkan pendapatan pelaburan bersih rendah sebanyak RM99.8 juta dalam Tahun Kewangan 2020 berbanding RM113.2 juta sebelumnya disebabkan kemerosotan ketara dalam nilai ekuiti pasaran.

“Ketika kami terus menjalankan perniagaan dalam keadaan yang tidak menentu, kami kekal optimis dalam berhati-hati mencatatkan pertumbuhan jangka panjang bagi kumpulan secara keseluruhan,” kata Mohd Din.

MNRB merupakan satu daripada syarikat strategik di bawah portfolio Permodalan Nasional Bhd.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan