EKONOMI

LIMA INISIATIF DIKENALPASTI UNTUK DILAKSANAKAN DIBAWAH NTIS - MOSTI

09/06/2020 05:54 PM

PUTRAJAYA, 9 Jun -- Lima inisiatif utama telah dikenal pasti untuk dilaksanakan dibawah Teknologi dan Inovasi Sandbox Nasional (NTIS),  kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Kerajaan akan menubuhkan NTIS dalam usaha melengkap proses digitalisasi negara.

Penubuhan NTIS telah diumumkan Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun lepas, ia akan diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan diberi kelonggaran beberapa peraturan untuk menguji cuba teknologi baharu.

MOSTI dalam satu kenyataan hari ini berkata kaedah Sandbox akan mengurangkan halangan kemasukan produk, perkhidmatan, inovasi serta penemuan baharu ke pasaran apabila proses pengujian terhadapnya dilonggarkan dan dilaksanakan dalam persekitaran yang selamat serta terkawal.

"Justeru, proses untuk menguji cuba teknologi baharu seperti penghantaran melalui dron dan kenderaan pandu sendiri dapat dibuat secara lebih efektif dan pantas," katanya.

MOSTI berkata anatar lima inisiatif itu ialah penggunaan autonomous robot untuk perkhidmatan kesihatan bagi penghantaran dan pembasmian kuman bertujuan mengurangkan penyebaran COVID-19 di hospital kerajaan dan hospital pengajar universiti dan di sektor pertanian bagi mengoptimumkan penggunaan baja dan penyemburan racun serangga ke atas tanaman.

Inisiatif lain ialah mengenai bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet pelbagai Perkara (IoT) menerusi teknologi yang dibangunkan oleh MIMOS Bhd untuk kerja-kerja menganalisis video, katanya.

Robot Garis lurus Pilih-dan-Letak (pick-and-place) dengan kecekapan dan ketepatan tinggi pula akan digunakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan menjalankan kerja berbahaya di sektor perkilangan, lokasi projek rintis aplikasi robotik tersebut akan dilaksanakan di Taman Perabot Muar dan Taman Industri Bersepadu Rawang, katanya.

MOSTI berkata kekurangan mesin pengudaraan kerna kos perolehan yang tinggi telah mencetuskan idea advanced manufacturing antaranya pengunaan teknologi sensor seperti percetakan 3D untuk menghasilkan ventilator buatan Malaysia pada harga berpatutan.

Selain itu, penggunaan aplikasi biak baka mutasi oleh Nuklear Malaysia telah berjaya menghasilkan variasi baharu padi iaitu NMR151 dan NMR152 yang mempunyai nilai tambah seperti memberi hasil tinggi, tahan penyakit karah, boleh tumbuh dalam keadaan air masin dan dalam keadaan air minimum, di mana variasi padi tersebut diiktiraf Jabatan Pertanian, ia menyumbang kepada keselamatan makanan, kata MOSTI.

Medan Chuping Jaya di Perlis telah dipilih menjadi lokasi untuk menjalankan projek rintis bagi sektor pertanian.

Sementara itu, MOSTI berkata terdapat empat skim pembiayaan yang merangkumi skop Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) serta automasi dan robotik yang dicadangkan.

 Ia melibatkan Single Site Sandbox iaitu pembiayaan maksimum berjumlah RM250,000 dalam bentuk geran sepenuhnya untuk membiayai penyelesaian single site sandbox, Multiple Site Sandbox iaitu pembiayaan maksimum berjumlah RM500,000 dalam bentuk separa geran (70 peratus) untuk membiayai penyelesaian multiple site sandbox.

Selain itu, pembiayaan maksimum RM4 juta dalam bentuk dana hibrid; geran dan Nota Janji Boleh Ubah (Convertible Promissory Notes) untuk membiayai proses pengkomersialan penyelesaian sandbox dan dana padanan bersama-sama pelabur/syarikat korporat dengan peruntukan maksimum RM15 juta di mana instrumen pembiayaan akan tertakluk kepada persetujuan antara Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan syarikat korporat yang terlibat.

Selaku kementerian peneraju, MOSTI menerusi Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Technology Park Malaysia (TPM), Malaysia MTDC dan Futurise Sdn Bhd (Futurise) di bawah Kementerian Kewangan akan bekerjasama dengan badan pengawal selia dan pihak swasta yang lain.

Kerjasama itu meliputi penyelarasan keseluruhan pelaksanaan NTIS melalui sumber pembiayaan penggunaan semula (repurposing funds) Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) di bawah MTDC yang akan melibatkan Industri 4.0 dan automasi serta robotik, katanya.

MOSTI berkata Futurise dan badan-badan pengawal selia berkaitan akan bertindak sebagai penyelaras melalui inisiatif ‘National Regulatory Sandbox’ bagi menentukan syarat dan kelayakan yang diperlukan untuk produk-produk inovasi berjaya ke pasaran setelah tamat proses ujian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan