Rabu, 27 Mei 2020
22/05/2020 03:38 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei  -- Langkah memendekkan tempoh permohonan untuk mendapatkan kelulusan pembiayaan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan diteruskan walaupun selepas krisis pandemik COVID-19 berakhir.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata inisiatif penambahbaikan yang dilaksanakan sejak beberapa hari lalu mendapat maklum balas positif temasuk daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri kerana ia mampu mengurangkan karenah birokrasi selain mempercepatkan proses pinjaman.

“Ini adalah normal baharu khususnya urusan dalam talian, tidak perlu banyak sangat transaksi di kaunter. Contohnya lawatan ke tapak, dahulunya mereka perlu pergi ke tapak untuk meninjau, tetapi ada jenis perniagaan sekarang tak perlu lagi melawat tapak.

“Hanya tunjukkan secara dalam talian dah boleh buat. Satu minggu yang dahulu kita peruntukkan untuk lawat tapak sahaja, kini sudah boleh dijimatkan kepada satu hari sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan khas terhadap peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro di Pertama Kompleks dan bangunan Mara, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, urusan di kaunter tetap diteruskan, namun pada tahap yang minimum sahaja.

Semalam Wan Junaidi memaklumkan tempoh permohonan dan mendapatkan kelulusan pembiayaan daripada hampir semua agensi di MEDAC, kini dipendekkan sehingga lebih 75 peratus untuk memudahkan usahawan PKS  mendapatkan pembiayaan, sekali gus membolehkan mereka meneruskan perniagaan dengan lebih cepat.

Sementara itu, katanya, sebanyak 20 peratus daripada kira-kira 850,000 usahawan PKS didapati terjejas berikutan penularan COVID-19 di negara ini khususnya usahawan wanita yang sebelum ini menjalankan urus niaga secara belian terus.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian berkenaan telah mempergiatkan usaha membantu mereka yang terlibat dengan memberikan kursus dan latihan secara dalam talian untuk membimbing mereka menceburi bidang perniagaan baharu.

“Memang mengikut kajian yang dijalankan oleh SME Corp, kami jangkakan lebih 20 peratus daripada usahawan PKS ini terjejas. Namun mereka ini tidak berhenti berniaga, tetapi mungkin beralih kepada perniagaan baharu.

“Mereka ini kita akan beri bimbingan dan latihan, namun ia melibatkan implikasi kewangan, jadi saya telahpun berjumpa dengan Menteri Kewangan untuk tambahan peruntukan bagi membantu usahawan PKS di seluruh negara,” kata Wan Junaidi.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan