Rabu, 27 Mei 2020
EKONOMI
22/05/2020 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei -- Petronas Chemical Group Bhd’s (PCG) mencatat keuntungan bersih lebih rendah bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2020 kepada RM506 juta berbanding RM800 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Hasilnya turut berkurangan kepada RM3.89 bilion daripada RM4.13 bilion yang diraih sebelum ini, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Kumpulan itu menyifatkan prestasi berkenaan disebabkan oleh penyusutan harga minyak mentah dan permintaan akibat penularan COVID-19 serta harga produk-produk yang lebih rendah.

Menurutnya, perolehan daripada segmen olefin dan derivatif pada suku itu merosot sebanyak RM351 juta atau 13 peratus tahun ke tahun kepada RM2.4 bilion berikutan penyusutan harga produk.

Selain itu, hasil segmen baja dan metanol juga merosot sebanyak RM106 juta atau lapan peratus kepada RM1.3 bilion, juga disebabkan oleh harga produk yang rendah.

Dalam kenyataan berasingan bagi mengulas keputusan itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG Datuk Sazali Hamzah berkata 2020 bermula sebagai tahun yang tidak dijangkakan oleh kebanyakan industri berikutan penularan pandemik COVID-19 dan disusuli kemelut yang membabitkan Pertubuhan Negara-negara Pengekport Petroleum (OPEC).

“Namun kumpulan ini terus memaparkan daya tahan pada suku pertama 2020 dengan mengekalkan kecekapan operasi, mengutamakan pelanggan serta portfolio produk yang pelbagai.

“Pada 2020, kita akan meneruskan usaha pengoperasian dan pengkomersialan kilang kimia yang terletak di Kompleks Bersepadu Pengerang,” katanya.

Mengulas prospek, PCG berkata keputusan kumpulan itu akan dipengaruhi terutamanya oleh keadaan ekonomi global, pergerakan kadar tukaran asing, kadar penggunaan kemudahan pengeluaran serta harga produk petrokimia yang mempunyai kaitan ketara dengan harga minyak mentah, khususnya bagi segmen olefin dan derivatif.

“Penggunaan kemudahan pengeluaran kami juga bergantung kepada aktiviti penyelenggaraan kilang, sumber yang mencukupi selain bekalan utiliti.

“Kumpulan akan meneruskan program kecemerlangan operasi dan pengurusan hubungan pembekal bagi mengekalkan paras penggunaan kilang melebihi penanda aras industri,” katanya.

Bagi segmen olefin dan derivatif, kumpulan itu mengunjurkan harga produk dapat mencatat pemulihan kecil menjelang akhir tahun jika pandemik COVID-19 semakin reda selain peningkatan harga minyak mentah.

Selain itu, PCG menjangkakan harga baja kekal stabil berikutan permintaannya yang kurang terjejas akibat pandemik itu.

“Ia dijangka stabil seiringan dengan musim penanaman akan datang dan kekal tidak berubah selepas itu. Permintaan terhadap metanol juga dijangka meningkat secara beransur-ansur seiring dengan pemulihan harga minyak mentah serta peningkatan permintaan derivatif hiliran,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan