Rabu, 27 Mei 2020
22/05/2020 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei  -- Petronas menerusi anak syarikatnya, Petronas LNG Ltd, telah memeterai perjanjian jual beli dengan Tiger Clean Energy Ltd (TCEL) yang berpangkalan di Taiwan, membabitkan pembekalan gas asli cecair (LNG) untuk Kemudahan Pengisian Tangki ISO LNG syarikat itu di Bintulu, Sarawak.

Dalam kenyataan hari ini, Petronas berkata di bawah perjanjian itu, TCEL akan melaksanakan penghantaran LNG ke China yang kemudiannya diedar ke lokasi pedalaman negara itu dengan menggunakan tangki-tangki ISO TCEL.

“Ini merupakan penyelesaian berteraskan pelanggan dan pragmatik yang dilaksanakan oleh Petronas dan menyokong serta membolehkan akses lebih baik terhadap tenaga bersih. Keadaan ini terutamanya untuk pelanggan di kawasan pedalaman yang jauh daripada saluran paip fizikal LNG dan pelanggan dengan keperluan lebih kecil.

“Malah, penghantaran LNG menggunakan tangki ISO itu dapat bertindak sebagai stok sokongan penting bagi memenuhi permintaan berikutan penghantaran menggunakan kapal terdedah kepada kekangan jadual penghantaran yang ketat,” katanya.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG, Ahmad Adly Alias ​​berkata perjanjian berjangka bukan konvensional dengan TCEL itu merupakan penyelesaian berteraskan pelanggan oleh Petronas yang melangkaui pengaturan LNG secara tradisional dengan membolehkan akses lebih besar terhadap tenaga bersih.

“Menerusi penghantaran LNG secara moden ini, kami dapat mewujudkan saluran paip ‘maya’ yang membolehkan peghantaran LNG kepada pelanggan di pedalaman yang tidak mendapat khidmat sistem pengedaran biasa di China.

“Pencapaian itu dapat kami raih menerusi model perniagaan LNG kami yang unik dan penyelesaian kami adalah khusus bagi kesesuaian pasaran dan keperluan pelanggan dalam industri yang pesat berubah ini,” katanya.

Petronas menyediakan bekalan LNG tanpa terjejas ke lebih 25 negara dan membuat penghantaran selamat lebih 11,000 kargo di peringkat global dari sumber portfolio kemudahan di serata Malaysia, Australia dan akan datang di Kanada.

Ia juga merupakan penggiat tenaga global pertama yang memperkenalkan konsep LNG terapung (FLNG) pada 2016 - PFLNG SATU serta melancarkan FLNG laut dalam pertama, PFLNG DUA pada 2019.

-- BERNAMA


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan