Jumaat, 29 Mei 2020
EKONOMI
18/05/2020 04:42 PM

Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali

KUALA LUMPUR, 18 Mei -- Kerajaan bukan sahaja mempertingkat usaha ke arah mode pemulihan selepas pembukaan kembali seksyen ekonomi pada 4 Mei akibat penularan wabak COVID-19, malah kini merangka pelan pemulihan jangka pendek untuk mempermudah inisiatif pembaikan semula ekonomi yang terjejas di samping menyediakan Belanjawan 2021.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan pelan pemulihan ekonomi itu pada akhir bulan ini.

Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkata kerajaan menekankan enam pendekatan atau 6R iaitu memutuskan (resolve), berdaya tahan (resilient), memulakan semula (restart), pemulihan (recovery), menggiatkan (revitalise) dan pembaharuan (reform) untuk mengimbangi di antara usaha pengekangan pandemik COVID-19 dengan kehidupan rakyat serta ekonomi.

“Susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak itu, ramai isi rumah mengalami simpanan berkurangan atau menanggung hutang, dan diharapkan mereka dapat menabung semula dan kurang berbelanja.

“Begitu juga, banyak syarikat telah menutup perniagaan mereka, mengalami masalah aliran tunai selain perlu mempertingkat semula lembaran imbangan masing-masing sebelum memberi komitmen untuk melabur,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata oleh itu, usaha pemulihan, menggiatkan dan pembaharuan ekonomi  akan menjadi keutamaan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021, yang akan menggariskan langkah serta dasar tertentu selain memastikan kebangkitan ekonomi berterusan bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Selain itu, Rancangan Malaysia Ke-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 akan menetapkan hala tuju strategik jangka sederhana dan panjang Malaysia, katanya.

Lee berkata penstabilan pertumbuhan mesti diperbaiki dan wajar untuk menjangkakan perbelanjaan domestik dan modal perniagaan meningkat secara beransur-ansur, disusuli pengembalian keyakinan pengguna dan sentimen perniagaan.

“Pemulihan keyakinan pengguna dan pelabur akan menjadi kunci bagi pemulihan ekonomi domestik. Ini mesti diselaraskan menerusi aliran komunikasi jelas dan konsisten mengenai dasar penstabilan ekonomi kerajaan, yang disokong oleh pengurusan kepemimpinan berkaliber.

“Kestabilan politik dan makro-ekonomi juga penting untuk memastikan persekitaran kondusif dan boleh dijangkakan supaya perniagaan dapat terus beroperasi," katanya.

Beliau menyarankan penggunaan baucar perbelanjaan dalam talian yang dikeluarkan oleh kerajaan dan peniaga, peruncit, hotel serta agensi pelancongan yang mengambil bahagian, yang memberikan insentif kepada pengguna dan pembeli sebagai antara cara untuk menggalakkan keyakinan pengguna dalam meningkatkan perbelanjaan.

Penempatan pekerjaan, latihan kemahiran dan program sokongan pendapatan juga harus diteruskan untuk golongan yang mudah terjejas.

“Bagi kehilangan pekerjaan dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah, penyediaan dana sokongan pendapatan, skim latihan peningkatan kemahiran serta bantuan penempatan pekerjaan berdasarkan ekonomi dan perniagaan yang pulih, boleh dipertimbangkan," katanya.

Kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan projek terutama infrastruktur awam yang sedang berjalan (Transit Aliran Massa 2, Transit Aliran Ringan 3 serta Lebuhraya Pan Borneo), dan projek luar bandar dan sosio-ekonomi yang lebih kecil bernilai RM4 bilion yang merangkumi pelbagai kementerian selain Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara.

“Bagi jangka sederhana, perbelanjaan fiskal untuk pelaburan infrastruktur dalam projek baru seharusnya perlu tetap disasarkan untuk memenuhi permintaan dalam negara di samping melonjakkan kapasiti pengeluaran masa depan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata tumpuan juga harus diberikan kepada pelaburan dalam infrastruktur pintar baharu yang digunakan untuk teknologi tinggi, pendigitalan dan tujuan lestari termasuk pusat data raya, infrastruktur 5G, dan stesen pengecasan untuk kenderaan tenaga baharu, tenaga solar, teknologi penjagaan kesihatan serta pertahanan, tambahnya.

Pandangan Lee boleh dibaca di: https://www.bernama.com/en/thoughts/news.ph?pid=1842598

Thoughts atau Tinta Minda bagi versi bahasa Melayu, merupakan ruang yang baru diperkenalkan www.bernama.com untuk golongan pakar dalam pelbagai bidang berkongsi pendapat dan idea mereka mengenai banyak topik dan isu semasa.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan