Isnin, 25 Mei 2020
EKONOMI
13/05/2020 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei  -- Kerajaan akan mengumumkan pelan pemulihan ekonomi enam bulan pada akhir bulan ini untuk memulihkan ekonomi pasca COVID-19.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali berkata pandemik itu telah menjejaskan pasaran di seluruh dunia termasuk Malaysia. 

“Perniagaan terpaksa menghentikan operasinya dan kadar pengangguran meningkat. Seperti ekonomi lain, kita sedang berusaha untuk mengurangkan kesannya (akibat daripada pandemik itu),” katanya pada webinar yang dianjurkan oleh Electrical and Electronics Productivity Nexus, di sini, hari ini. 

Antara sektor yang terjejas teruk akibat COVID-19 ialah elektrik dan elektronik (E&E) dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM7.28 bilion, manakala kerugian import dijangka berjumlah RM29.12 bilion, kata Azmin. 

Menurutnya, eksosistem E&E tempatan adalah sebahagian daripada rantaian bekalan global dan kekal sebagai penyumbang utama kepada keluaran dalam negara kasar serta menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara.

Menurutnya, bagi mengurangkan kesan pandemik itu ke atas ekonomi, kerajaan telah mengambil keputusan untuk membenarkan hampir semua aktiviti ekonomi disambung semula. 

“Ini akan mewujudkan pekerjaan selain memastikan persekitaran yang selamat kepada pekerja dengan pelaksanaan prosedur operasi standard kesihatan perindustrian. 

“Setakat ini kita telah berjaya mengawal COVID-19, hasil daripada usaha tanpa mengira penat lelah petugas barisan hadapan,” katanya. 

Azmin juga menggesa perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana untuk melihat cabaran yang ada sekarang sebagai satu peluang untuk mempercepatkan pendigitalan kerana ia merupakan pembuka jalan yang terbaik. 

“COVID-19 menunjukkan bahawa pendigitalan adalah pelan tindakan yang berjaya terutamanya dalam perniagaan. 

“Dengan menguasai pendigitalan, bukan hanya ia boleh dimanfaatkan pada masa depan tetapi juga boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan