Sabtu, 31 Oktober 2020
13/05/2020 10:46 AM

KUALA LUMPUR, 12 Mei -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) hari ini memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) dalam majlis secara maya dengan Pitch Platforms Sdn Bhd (pitchIN) dan Microleap PLT (microLEAP).

PitchIN yang juga pengendali pasaran yang dikenali, menawarkan platform Pendanaan Ekuiti Ramai (ECF) manakala microLEAP merupakan platform pembiayaan Rakan Setara (P2P) yang membolehkan perniagaan membuat kutipan dana daripada sumber ramai atau awam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata kerjasama itu bertujuan mewujudkan sinergi membabitkan dana disediakan oleh kerajaan dan pelabur sofistikated yang melabur dalam platform-platform berkenaan.

Beliau turut menyifatkan kerjasama itu akan membolehkan MTDC menyertai pelaburan pendanaan ekuiti ramai dan pembiayaan P2P sehingga 30 peratus dalam syarikat-syarikat berpotensi menerusi setiap kempen pembiayaan pendanaan ekuiti ramai dan P2P.

Kerjasama itu juga akan membolehkan anak syarikat milik Khazanah Nasional Berhad mendapat akses membabitkan maklumat relevan berkaitan penawaran di platform pembiayaan pendanaan ekuiti ramai dan P2P. 

“Bagi kes ini, kami telah memperuntukkan jumlah awal RM10 juta bagi pendanaan ekuiti ramai. Jika kami menggunakan paras pelaburan normal yang dihasilkan, ini mewakili 30 peratus daripada mana-mana pelaburan. Jika projek itu sekitar RM2 juta hingga RM3 juta, kami berkemungkinan (dapat mendana) sehingga RM900,000 bagi setiap projek.

"Namun bagi kerjasama ini, kami melihat untuk menyalurkan dana kira-kira 12 projek. Menerusi cara ini ringgit (yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi tujuan pendanaan) dapat meningkat tiga kali ganda; daripada hanya menyediakan dana untuk tiga projek pada nilai RM900,000, kami dapat membiayai 12 projek dan dapat diterima oleh lebih ramai penerima,” katanya pada majlis tersebut yang disiarkan secara langsung di laman Facebook MTDC.

Norhalim berkata sinergi sedemikian dapat dijana menerusi kerjasama yang tidak hanya menguntungkan MTDC dan platform pendanaan, tetapi juga kalangan usahawan.

“Ini akan dapat membantu lebih ramai lagi serta kalangan usahawan tempatan untuk berusaha memajukan teknologi industri 4.0,” katanya.

Selain pengurusan dana, MTDC juga menyediakan perkhidmatan sokongan bersepadu untuk kalangan usawan teknologi termasuk khidmat nasihat seperti bimbingan, pengumpulan dana, kerjasama antarabangsa dan jaringan serta latihan berkaitan keusahawanan.

Norhalim menjelaskan lagi, kerjasama ini akan menambah nilai dalam ekosistem kerana ia akan menghubungkan awam dan swasta serta pengaksesan hubungan itu oleh syarikat dengan kumpulan penyelidikan di universiti. 

Sementara itu, CEO pitchIN, Shamsul (Sam) Jafni Shafie berkata dana pelaburan bersama bernilai RM10 juta MTDC akan tersedia kepada pemula niaga yang memberi fokus ke atas teknologi dan sains.

"Sebagai permulaan, MTDC akan melabur sehingga RM900,000 atau maksimum 30 peratus ekuiti dalam syarikat yang memenuhi kriteria pelaburannya. 

"Inisiatif pembiayaan ini akan memberi manfaat yang besar kepada syarikat berasaskan sains dan teknologi untuk mencari modal bagi mengembangkan perniagaan mereka. Dengan memanfaatkan kelebihan pendanaan awam, program ini akan mengenal pasti dan membiayai syarikat yang berpotensi untuk berjaya serta membawa nilai kepada pelabur dan ekonomi negara," katanya lagi. 

Syarikat yang membangunkan teknologi serta inovasi tempatan boleh menghubungi pitchIN bagi mengetahui lebih lanjut mengenai skim pelaburan bersama atau memohon pembiayaan tersebut. 

Menurut CEO MicroLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar, MTDC akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi microLEAP yang akan dimanfaatkan bagi membiayai sehingga RM500,000 atau maksimum 30 peratus dalam nota pelaburan berlandaskan syariah terpilih yang dipaparkan di platformnya. 

“Bersandarkan jangkaan permintaan daripada kerjasama MTDC ini, microLEAP akan melancarkan microLEAP Plus untuk penerbitan dalam pusat teknologi yang telah menerima kelulusan penilaian kredit kami, dan mereka akan mengumpulkan dana sehingga maksimum RM500,000 atau lebih berdasarkan kes.

“Krisis COVID-19 merupakan masa yang mencabar bagi banyak perniagaan di negara ini. Oleh itu, kerjasama ini tepat pada masanya bagi membantu syarikat teknologi bertahan dalam keadaan sekarang," katanya. 

 Tunku Danny juga berkata kesanggupan MTDC untuk membiayai secara bersama sehingga 30 peratus, menunjukkan keyakinan dalam pertumbuhan serta potensi kejayaan syarikat teknologi yang terpilih.

"Ini akan merangsang lebih ramai pelabur untuk terlibat dan membiayai syarikat berkenaan," tambahnya.

MTDC telah menjadi peneraju utama dalam pengkomersialan dan pengurusan pembiayaan kerajaan sejak Rancangan Malaysia Ketujuh. 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan