Selasa, 07 April 2020
EKONOMI
26/03/2020 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac  -- Sebahagian besar alatan perubatan penting yang didermakan kepada Malaysia oleh Jack Ma Foundation dan Alibaba Foundation untuk membantu menambah bekalan perubatan yang semakin berkurangan di negara ini telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dipertanggungjawabkan untuk mengedarkan bekalan tersebut yang terdiri daripada topeng muka, kit ujian, sut perlindungan dan pelindung muka di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus menerima sumbangan daripada dua yayasan itu yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Leo Chow.

Kedua-dua yayasan itu dalam satu kenyataan berkata penghantaran tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif sumbangan yang dijanjikan pada 19 Mac ke empat negara Asia Tenggara  -- Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.

“Empat negara itu secara kolektif akan menerima sejumlah dua juta topeng muka, kit ujian bagi menguji 150,000 orang, 20,000 sut perlindungan dan 20,000 pelindung muka,” kata kedua-dua yayasan itu.

Sementara itu, Electronic World Trade Platform (eWTP), inisiatif yang diwujudkan oleh Alibaba bertujuan untuk menghapuskan atau mengurangkan halangan yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam dagangan dalam talian global mereka, memudahkan pengedaran bekalan bantuan COVID-19.

Setiausaha Agungnya, James Song, berkata, “Meskipun cabaran untuk mengangkut bekalan perubatan disebabkan pandemik itu, kami memanfaatkan kekuatan hab eWTP untuk melakukan sepantas mungkin.”

Sumbangan itu adalah antara sebahagian daripada inisiatif bantuan Alibaba Foundation dan Jack Ma Foundation untuk menyokong negara-negara di dunia yang paling terjejas dengan krisis COVID-19.

Inisiatif itu termasuklah menyumberkan dan menghantar pelbagai jenis bekalan perubatan ke China, Asia Tenggara, Amerika Syarikat, Afrika, Itali, Belgium, Perancis, Slovenia, Sepanyol dan Amerika Latin. 

Selain daripada itu, yayasan tersebut juga membiayai penyelidikan dan pembangunan pilihan rawatan COVID-19 di China, di Peter Doherty Institute for Infection and Immunity (Australia) dan Columbia University (Amerika Syarikat).

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan