Selasa, 07 April 2020
EKONOMI
26/03/2020 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kepada 18 negara yang menjadi anggota di Asia-Pasifik untuk menyediakan sokongan kecemasan kepada syarikat penerbangan berikutan kejatuhan menjunam dalam permintaan perjalanan udara dan pada masa yang sama, COVID-19 terus tersebar.

Malaysia, Bangladesh, India, Jepun, Pakistan, Filipina, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam merupakan antara negara yang diseru untuk mengadakan sokongan itu.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata syarikat penerbangan sekarang ini terpaksa berjuang untuk kelangsungan hidup selepas berhadapan dengan sekatan perjalanan serta kejatuhan permintaan sehingga menyebabkan ia kehilangan penumpang dan terpaksa bergantung kepada penerbangan kargo.

"Bagi syarikat penerbangan, keadaan sekarang benar-benar satu bencana dan hanya wujud satu peluang kecil bagi kerajaan menyediakan talian hayat dalam bentuk sokongan kewangan untuk mencegah krisis kecairan yang akan menjejaskan industri. Kami memerlukan mereka untuk memahami bahawa tanpa bantuan ini, banyak syarikat penerbangan akan ditutup, sebelum berpeluang memasuki tahap pemulihan.

"Kegagalan untuk bertindak sekarang akan menjadikan krisis ini berpanjangan dan lebih menjejaskan. Sejumlah 2.7 juta pekerjaan dalam syarikat penerbangan adalah berisiko dan setiap pekerjaan menyokong lebih daripada 24 lagi pekerjaan dalam rantaian nilai pelancongan serta perjalanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut de Juniac, IATA telah mencadangkan beberapa opsyen kepada kerajaan berkenaan untuk dipertimbangkan, antaranya, sokongan kewangan langsung kepada syarikat-syarikat penerbangan ini sebagai pampasan bagi pengurangan pendapatan dan kecairan yang berpunca daripada sekatan perjalanan yang dikenakan akibat COVID-19.

IATA selanjutnya menyeru kerajaan dan bank pusat masing-masing untuk menyediakan pinjaman, jaminan pinjaman dan sokongan bagi pasaran bon korporat, yang merupakan sumber kewangan yang penting dan juga pelepasan cukai. 

Beberapa negara di Asia Pasifik sudah pun mengumumkan pakej bantuan kewangan untuk syarikat penerbangan seperti Australia, New Zealand dan Singapura.

Australia, sebagai contoh, telah menyediakan pakej bantuan berjumlah A$715 juta (RM1.85 bilion) yang merangkumi bayaran balik serta pengecualian cukai bahan api, caj navigasi udara domestik dan keselamatan penerbangan serantau.

Kerajaan New Zealand pula menawarkan fasiliti pinjaman sebanyak NZ$900 juta (RM2.28 bilion) kepada syarikat penerbangan nasionalnya termasuk tambahan pakej bantuan berjumlah NZ$600 juta (RM1.52 bilion) bagi sektor penerbangan khususnya untuk memastikan kesinambungan dalam kapasiti pengangkutan udara.

Singapura telah melaksanakan langkah-langkah bantuan bernilai S$112 juta (RM336.31 juta) termasuk rebet ke atas caj lapangan terbang, bantuan kepada ejen pengendalian permukaan dan rebet sewa di Lapangan Terbang Changi.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan