Selasa, 07 April 2020
EKONOMI
26/03/2020 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Pakej Rangsangan 2 kerajaan yang akan diumumkan esok perlu menimbang dengan serius untuk melaksanakan pembiayaan wang bagi strategi defisit fiskal, kata AmBank Research.

Ketua Ekonominya Dr Anthony Dass berkata memandangkan fleksibiliti terhad dasar fiskal, ditambah dengan ekonomi lemah dan persekitaran inflasi rendah, pembiayaan wang adalah instrumen berguna untuk menyokong ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan penurunan harga minyak. 

Beliau berkata menerusi pembiayaan wang, atau sebelum ini dikenali sebagai penciptaan wang, kerajaan boleh menggerakkan sumber untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan membiayai defisit belanjawan. 

“Ia akan membolehkan kerajaan membelanjakan sebanyak mana yang ia mahu dengan sasaran menyokong ekonomi ke arah kapasiti penuhnya, meningkatkan aktiviti sektor swasta, mengurangkan kadar pengangguran dan membiayai program utama seperti pembinaan/prasarana, penjagaan kesihatan dan inisiatif hijau. 

“Jika perbelanjaan kerajaan mewujudkan defisit, ia bukan masalah yang serius. Ia kerana defisit kerajaan dari segi definisi lebihan kepada sektor kerajaan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini. 

Kerajaan menyemak semula defisit fiskal dengan meningkatkannya kepada 3.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar memandangkan penularan COVID-19, naik daripada 3.2 peratus yang ditetapkan pada awalnya di bawah Belanjawan 2020.

Dass berkata ekonomi domestik dijangka menguncup sebanyak 2.8 peratus dalam suku pertama tahun ini - penguncupan pertama sejak suku ketiga 2009.  

Kesan ketara dijangka dirasai dalam keseluruhan aktiviti ekonomi susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan memandangkan peningkatan kes COVID-19, katanya.

“Berdasarkan penilaian kami, satu peratus kenaikan dalam bekalan wang akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.5 peratus.

“Pada masa yang sama, ia menyokong mata wang tempatan dengan peningkatan 0.6 peratus berbanding dolar AS,” jelasnya.

Dass berkata pakej rangsangan 2 perlu lebih besar berbanding pakej rangsangan pertama bernilai RM20 bilion dari segi mencapai kumpulan sasaran yang lebih luas dan meliputi lebih banyak aktiviti ekonomi.

Menurutnya lagi, pakej rangsangan itu perlu menangani enam isu strategik iaitu mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan peluang pekerjaan, meringankan beban ekonomi rakyat terutamanya golongan miskin, menyokong sektor swasta, melaksanakan pembinaan kapasiti bagi masa depan, menyokong perusahaan kecil dan sederhana dan menyokong aktiviti perniagaan informal (bekerja sendiri) dan mereka yang bekerja dalam sektor ini. 

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan