Sabtu, 04 April 2020
26/03/2020 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Prestasi Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang menokok 1.3 peratus tahun ke tahun kepada 122.4 mata pada Februari 2020 daripada 120.8 mata pada bulan sama tahun lepas sepertimana diumumkan oleh Jabatan Perangkaan semalam, menyebabkan beberapa bank dan firma pelaburan menyemak turun unjuran IHP berikutan penularan COVID-19.

Kenanga Investment Bank (Kenanga) menerusi nota penyelidikannya berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April akan memberi impak ketara dari segi perbelanjaan yang mana kedua-dua kumpulan firma dan isi rumah dijangka lebih berhati-hati.

Ini mengambil kira faktor harga barangan di tengah-tengah ketidaktentuan membabitkan pendapatan masa depan masing-masing.

“Sejajar dengan sekatan pergerakan dilaksanakn di serata dunia serta perang harga minyak antara Arab Saudi dan Russia akan menyaksikan harga bahan api itu kekal diasak tekanan dan menyebabkan penyusutan harga runcit minyak domestik,” katanya.

Berikutan itu, unjuran IHP 2020 oleh Kenanga telah disemak turun kepada 0.5-1.0 peratus daripada 1.0-1.5 peratus berbanding 0.7 peratus pada 2019 dengan mengambil kira impak COVID-19.

“Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) seterusnya akan bergantung kepada perkembangan membabitkan pandemik itu.

“Kami tidak terkejut jika Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk menyamai paras krisis kewangan global pada 2.0 peratus, sekiranya keadaan terus meruncing walaupun selepas PKP tamat serta berlakunya potensi krisis global lain,” katanya.

Sementara itu dalam nota berasingan, Public Investment Bank Bhd berpendapat bahawa pengumuman IHP itu menunjukkan sokongan fiskal dan pendekatan monetari yang dijangka positif untuk IHP 2020 walaupun ia lebih berhati-hati terhadap prospek tahun ini.

Penyusutan mendadak harga minyak yang mencecah paras terendah dalam 16 tahun, juga menjadi penentu kemungkinan COVID-19 memperlahankan aktiviti ekonomi secara lebih ketara, katanya.

“Namun ini dijangka pulih dan di kadar biasa pada separuh kedua April sebelum mencecah potensi penuhnya pada  separuh kedua tahun ini," katanya.

Public Investment Bank berkata ini mungkin memberi kesan terhadap inflasi, sejajar dengan unjuran tahun penuh lebih perlahan tahun ini pada 0.8 peratus berbanding 0.7 peratus pada 2019.

Sementara itu, firma pelaburan Affin Hwang Capital berkata faktor penurunan kos pengangkutan yang menggambarkan harga runcit petrol domestik yang rendah dan kelembapan ekonomi telah menyebabkannya menyemak turun inflasi teras kepada purata 1.2-1.4 peratus bagi 2020 berbanding anggaran awal 1.9-2.0 peratus berbanding 0.7 peratus pada tahun lepas.

Dari segi dasar monetari, Affin Hwang Capital berkata tekanan inflasi adalah terkawal dan percaya bahawa BNM akan merendahkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi, akibat impak negatif COVID-19 dan kesan kemungkinan penurunan harga minyak global terhadap ekonomi domestik.

Untuk rekod, IHP Malaysia naik 1.3 peratus tahun ke tahun kepada 122.4 mata daripada 120.8 mata pada Februari 2019. 

Dalam kenyataan mengenai IHP semalam, Ketua Perangkawan Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada 552 barangan di bawah indeks, sejumlah 343 barangan mencatat peningkatan pada bulan lepas berbanding Februari 2019. 

Peningkatan indeks secara menyeluruh itu dipacu oleh pertambahan 2.5 peratus dalam indeks pelbagai barangan dan perkhidmatan, pengangkutan (2.4 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.6 peratus) dan komunikasi (1.5 peratus).

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan