BERITA COVID–19   Singapura sahkan dua kes import positif varian Omicron | Rusia lapor kes pertama varian Omicron | Enam lagi pelajar Maktab Mahmud Sik positif COVID-19 | 98.2 peratus kes baharu COVID-19 kategori satu dan dua | Rakyat sokong langkah Jepun hentikan pengeluaran baharu visa warga asing | 
EKONOMI

MTDC labur RM6.2 juta dalam KLezcar bagi Pusingan Pelaburan Siri A

13/03/2020 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac -- Anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), melabur sebanyak RM6.2 juta dalam syarikat sewa kereta, KLezcar Travel & Tours Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata syarikat mempunyai pelan untuk menambah lebih banyak pusingan pembiayaan bagi KLezcar pada masa depan, terutamanya apabila syarikat itu bersedia untuk menembusi pasaran Asia Tenggara mulai 2021 dan seterusnya.

"Kami menggemari model perniagaan KLezcar berikutan mereka bekerjasama dengan syarikat sewa kereta kecil berbanding membeli dan menyewa kumpulan mereka sendiri. Ini secara tidak langsung akan membantu membangunkan keusahawanan di negara ini.

"Syarikat sewa kereta kecil biasanya tidak mempunyai cara untuk melabur dalam teknologi, dan bekerjasama dengan KLezcar, ia akan menjaga sistem, pemasaran, pembayaran dan proses ‘back-end’ lain," katanya pada sidang media selepas mengumumkan Pusingan Pelaburan Siri A di sini hari ini. 

Ditubuhkan pada 2014, KLezcar mempunyai rangkaian sebanyak 134 buah di seluruh negara dan cawangan rakan kongsi, menawarkan lebih 1,838 kereta.

Pelanggan boleh menempah perkhidmatan tersebut dengan mudah melalui laman web syarikat itu, www.klezcar.com, atau memuat turun aplikasi klezcar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLezcar Amad Fuad Zainal Abidin berkata syarikat turut merancang untuk memperluaskan senarai perkhidmatannya merangkumi antaranya cuci kereta dengan bekerjasama dengan pengusaha perniagaan.

Memanfaatkan latar belakang teknikal mereka yang kukuh, KLezcar memperkenalkan sistem pengurusan sewa kereta yang menyeluruh dan peranti lnternet of Things untuk Sistem Penentududukan Global (GPS) dan sistem mengunci/membuka kunci kereta yang dibina secara dalaman.

Melalui sistem tersebut, syarikat dapat meningkatkan pengalaman pelanggan dengan mengurangkan masa menunggu dengan tempahan pada masa nyata, menghapuskan tempahan berganda, menyediakan dokumentasi yang lebih cekap dan bantuan kecemasan di seluruh negara dan menyediakan kereta ganti. 

"Tahun lepas, dengan 90 rakan kongsi, kami berjaya meraih jumlah jualan sebanyak RM7.5 juta.

“Tahun ini, kami merancang untuk memperluaskan rangkaian kami dari segi liputan dan saiz kumpulan dengan menyepadukan 210 rakan kongsi baharu dengan KLezcar Partner Programme yang dipertingkatkan dan menjana jualan sebanyak RM21 juta," kata Amad Fuad.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan