EKONOMI
Tarikh Kemaskini :
13/02/2020 04:17 PM

PELABUHAN KLANG, 13 Feb -- Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih berjalan mengikut jadual yang ditetapkan walaupun dunia sedang dilanda penularan virus COVID-19 sehingga menyebabkan banyak projek melibatkan negara China terjejas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata setakat ini, projek landasan kereta api yang bakal menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan itu telah siap 15 peratus siap seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata 13 pekerja ECRL warganegara China yang pulang ke negara itu bagi menyambut Tahun Baharu Cina bulan lepas juga masih belum kembali ke Malaysia dan ketiadaan mereka tidak menjejaskan proses pembinaan ECRL kerana kebanyakan pekerja terdiri daripada rakyat tempatan.

"Pihak kami juga tidak menerima permohonan daripada syarikat pembiaya iaitu Export-Import Bank of China (EXIM) untuk menangguhkan pembayaran dana terhadap projek ini. Kita yakin ECRL akan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027," katanya selepas melawat tapak pameran Pemeriksaan Awam Projek ECRL di Lembaga Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Turut hadir semasa lawatan itu adalah Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Ismail Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abd Razak.

Loke berkata, pembinaan projek ECRL itu juga dilihat akan melengkapi Dasar Pengangkutan Negara seperti mana azam kerajaan yang mahu meningkatkan pergerakan kargo menggunakan laluan kereta api berbanding jalan raya.

"Selain dapat mengurangkan jumlah kenderaan berat di atas jalan raya, ECRL ini kelak juga akan menghubungkan dua buah pelabuhan di Pelabuhan Klang iaitu Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Pulau Carey yang akan dibangunkan kelak," katanya.

Projek ECRL disambung semula setelah perjanjian tambahan antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd dimeterai pada 12 April 2019 yang menyaksikan pengurangan kos projek sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Hubungi Kami

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan