EKONOMI

EKONOMI DIGITAL JADI PLATFORM TINGKATKAN PERDAGANGAN MALAYSIA KEPADA US$95 BLN MENJELANG 2030 - WLC

09/10/2019 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt  -- World Logistics Council Ltd (WLC), organisasi separa kerajaan perkongsian hasil yang diperbadankan di Ireland, menjangkakan perdagangan Malaysia meningkat sebanyak US$95 bilion menjelang 2030 melalui penyertaan Malaysia dalam platform ekonomi digital dikenali sebagai Sistem Aplikasi Ekonomi Digital Dimensi Pelbagai (MDDEAS ).

Pengerusi WLC, Kapten Samuel Salloum berkata platform itu adalah platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B) generasi baharu, yang menyediakan ribuan aplikasi perniagaan percuma yang mendigitalkan rantaian nilai global.

"MDDEAS menawarkan beribu-ribu aplikasi yang menerima permintaan membolehkan perniagaan menyelaraskan logistik, insurans, kewangan dan sistem perdagangan mereka dengan perniagaan lain di seluruh dunia untuk mewujudkan tahap kecekapan abad ke-21 yang baharu," katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) di sini hari ini.

MTDC diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus.

Melalui MoU itu, MTDC dan WLC akan mempromosi penggunaan MDDEAS, dengan kerjasama firma-firma teknologi terbesar di dunia, secara digital akan menghubungkan perniagaan di Malaysia dengan rakan dagang global mereka dan menghasilkan peningkatan kecekapan dan keselamatan perdagangan yang lebih baik, dengan Malaysia sebagai penanda aras di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata platform itu juga akan mengurangkan kos perdagangan tahunan lebih US$99 bilion dan mewujudkan lapan juta pekerjaan dalam industri pembuatan, pertanian dan perkhidmatan industri menjelang 2030.

"MDDEAS menawarkan peluang pengembangan pasaran untuk perniagaan di seluruh dunia melalui penyediaan peralatan digital inovatif seperti e-kewangan, e-insurans, e-dagang, e-logistik dan e-geran tanpa kos kepada pengguna," katanya.

Norhalim berkata platform itu akan membantu Malaysia berhubungan dengan perniagaan tempatan kepada rakan kongsi asing dan mengembangkan pasaran global.

"Kerjasama ini menandakan satu lagi kejayaan bagi syarikat-syarikat di ekosistem MTDC kerana MDDEAS dapat menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan ke pasaran global menerusi ruang beli-belah digital pasaran tanpa sempadan secara lancar dan mewujudkan peluang pengembangan pasaran yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata MTDC dalam peranannya sebagai pemboleh strategik bagi Industri 4.0 untuk PKS tempatan akan mengenal pasti PKS yang boleh mendapat manfaat daripada peralatan MDDEAS.

Beliau berkata pemeteraian MoU adalah tepat pada masanya kerana ia seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada industri berimpak tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital dan pertanian berteknologi tinggi.

WLC dibentuk untuk melaksanakan arahan dasar ekonomi digital para pemimpin G20 dan ditadbir oleh 28 entiti dari 28 negara untuk mengimbangi monopoli, kebimbangan privasi data geopolitik berkaitan dengan penyelesaian global yang memberi kesan kepada data perdagangan dan perdagangan data yang menjadi kepentingan keselamatan negara.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan