EKONOMI

D-8 SASAR TAMAN PERINDUSTRIAN TEKNOLOGI TINGGI PERTAMA DI MALAYSIA PADA AKHIR 2020

02/10/2019 10:20 PM

Laporan Eksklusif Oleh: Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 2 Okt -- Kumpulan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8) mencadangkan penubuhan taman perindustrian teknologi tinggi pertamanya di Malaysia pada akhir 2020.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari berkata taman perindustrian itu mempunyai potensi untuk menarik pelaburan langsung asing bernilai jutaan dolar ke Malaysia.

Katanya walaupun idea untuk menubuhkan taman perindustrian itu masih dalam peringkat cadangan, sebuah syarikat dari Turki bersetuju pada dasarnya untuk menawarkan teknologi penapisan kepada taman perindustrian tersebut.

"Syarikat dari Turki itu juga terlibat dalam industri komponen aeroangkasa," katanya kepada Bernama dan Astro Awani di luar Persidangan Teknologi dan Pameran MTDC NBC (MTCE 2019) yang berlangsung selama dua hari di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ku Jaafar, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Qatar, enggan memberikan maklumat lanjut, termasuk lokasi taman perindustrian tersebut.

Beliau berkata surat cadangan mengenai taman perindustrian itu telah dikemukakan kepada D-8 dan menunggu kelulusan Mesyuarat Suruhanjaya D-8 dari 9-11 Okt, 2019.

“Diharap sebaik sahaja cadangan itu diterima, kami akan menemui agensi kerajaan dan sektor swasta yang berkaitan untuk meninjau peluang bagi mewujudkan taman perindustrian ini," katanya.

Beliau berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah dimaklumkan mengenai idea tersebut.

Ku Jaafar berkata pemaju taman perindustrian dari Turki, yang telah membangunkan enam zon ekonomi di Mesir, turut menyatakan minat untuk membangunkan dan melabur dalam Taman Perindustrian D-8 di Malaysia.

"Apabila taman perindustrian itu ditubuhkan, keutamaan akan diberikan kepada syarikat dari negara-negara anggota D-8 untuk menawarkan produk berasaskan teknologi mereka di sana," katanya.

Selain Malaysia, beliau berkata organisasi itu turut merancang untuk menubuhkan beberapa taman perindustrian di negara-negara anggota yang lain.

Ditubuhkan pada 1997 dan beribu pejabat di Istanbul, Turki, D-8 adalah organisasi untuk kerjasama pembangunan dalam kalangan lapan negara membangun, iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan, dan Turki.

Matlamat D-8 ialah meningkatkan kedudukan negara-negara anggota dalam ekonomi global dengan mempelbagaikan dan mewujudkan peluang baharu dalam hubungan perdagangan, meningkatkan penyertaan dalam membuat keputusan di peringkat antarabangsa dan meningkatkan taraf hidup.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan