EKONOMI

MAMPUKAH MALAYSIA TERIMA PELABURAN TEKNOLOGI TINGGI?

21/06/2019 01:57 PM

Oleh Aishah Afandi

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Keupayaan Malaysia dari segi pembuatan terbukti berkembang sejak negara ini memulakan era perindustrian pada awal 1980-an dan terus pesat sehinggakan dikenali sebagai hab elektrikal dan elektronik (E&E) untuk pelbagai syarikat multinasional global.

Sejak beberapa tahun lepas, landskap pembuatan itu telah beralih daripada pembuatan tradisional kepada berteknologi tinggi yang dibantu oleh kecerdasan buatan dan automasi sejajar dengan keperluan terhadap aspek ketepatan tinggi.

Tidak dinafikan, Malaysia sememangnya dikenali sebagai lokasi strategik sektor E&E di serata dunia, namun apakah kita benar-benar bersedia bagi pelaburan berteknologi tinggi?

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking misalnya telah memberi jaminan beliau kepada pelabur mengenai keupayaan Malaysia menerima pelaburan sedemikian berdasarkan reputasi yang kukuh sebagai hab E&E serta pengalaman negara ini yang terbuka kepada pelaburan teknologi sejak beberapa tahun lepas.

Malah pada masa sama, beliau turut memberi jaminan di sebalik senario perdagangan global masa kini, Malaysia akan kekal berkecuali dan meneruskan aspirasi sebagai hab E&E serta perniagaan lain.

"Walaupun persekitaran ekonomi global menyaksikan ketegangan (perdagangan), kita kekal optimis bahawa Malaysia memiliki kekuatannya untuk mengatasi elemen negatif itu," katanya.

Jika diamati, dari segi dasar dan persekitaran, kerajaan sememangnya bersedia memulakan serta membantu dalam usaha aspek itu sebagaimana dibuktikan menerusi pelancaran Industry4WRD yang merupakan Dasar Kebangsaan Industri 4.0 bagi memacu transformasi digital sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan di negara ini.

Bagaimanapun, peralihan ke tahap pembuatan seterusnya hanya dapat direalisasikan sekiranya sektor swasta, terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dapat menerima cabaran dan seterusnya bertindak meningkatkan kedudukan masing-masing dalam rantaian nilai.

Setakat Mei tahun ini, kira-kira 300 syarikat telah mendapatkan bantuan kementerian bagi memantapkan persediaan mereka terhadap Industri 4.0.

Kementerian itu juga telah menyasarkan untuk melatih 500 PKS bagi tujuan penilaian menjelang akhir tahun ini dan menyokong 60 daripadanya dengan menyediakan geran padanan 70:30 yang mencecah jumlah sehingga RM500,000 bagi setiap syarikat.

Mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus berkata Malaysia mempunyai keupayaan untuk turut terlibat dalam industri teknologi tinggi.

"Kita tidak sedar bahawa ada banyak syarikat yang membekalkan peralatan kepada syarikat multinasional seperti  Apple, Google, Boeing, Tesla dan sebagainya.

"Oleh itu, saya berpendapat, kita sebenarnya mempunyai barisan tenaga kerja tempatan yang hebat dalam sektor seperti teknologi maklumat, kejuruteraan mekanikal serta teknologi," katanya.

Syarikat-syarikat Malaysia yang terbabit menyediakan komponen kepada rantaian global adalah Composites Technology Research Malaysia (CTRM) yang menyediakan peralatan bagi syarikat penerbangan terkemuka Boeing dan Airbus manakala syarikat semikonduktor tempatan, Silterra yang membekal cip untuk produk Google, Apple dan Amazon dan sebagainya.

MTDC, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, diwujudkan bagi mempromosi penggunaan teknologi oleh syarikat tempatan menerusi aspek pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R & D) atau mendapatkan teknologi asing.

Norhalim turut menyifatkan syarikat-syarikat tempatan itu sebagai kompetitif sepertimana syarikat E&E dari China, Jepun dan Amerika Syarikat.

"Kita perlu yakin kepada diri sendiri dan mempunyai potensi untuk terus berkembang," katanya.

Selain itu, wujud keperluan untuk lebih berani bagi menggalakkan penerapan teknologi berteknologi tinggi, berintensifkan pengetahuan, industri dengan nilai tambah tinggi bagi membolehkan mereka dapat memanfaatkan peralihan yang berlaku dalam sektor pembuatan.

Media Nikkei Asian Review baru-baru ini melaporkan bahawa Apple kini sedang mempertimbang untuk memindahkan 15-30 peratus kapasitinya keluar dari China berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat-China dan antara negara-negara yang diteliti sebagai lokasi sesuai adalah Mexico, India, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.

Perkembangan itu jelas membuktikan bahawa jika Malaysia mahu memanfaatkan peluang seperti sedemikian, maka kedua-dua pihak iaitu sektor swasta dan awam perlu merealisasikan matlamat serta melipatgandakan usaha masing-masing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan