EKONOMI

SATU LAGI SYARIKAT TEKNOLOGI AKAN DISENARAIKAN DI PASARAN ACE JUN DEPAN - MTDC

09/05/2019 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Malaysian Technology Development Corp Sdn Bhd (MTDC) berkata satu lagi syarikat teknologi akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Norhalim Yunus berkata ia adalah syarikat berpangkalan di Pulau Pinang yang terlibat dalam bidang automasi dan robotik, dan prospektus penyenaraiannya akan dilancarkan minggu depan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai syarikat tersebut.

"Syarikat ini juga adalah antara syarikat yang menerima dana pengkormersialan perniagaan pada 10 tahun lepas oleh MTDC.

"Kini, kita dapat melihat banyak perkembangan pesat dalam bidang robotik dan automasi selaras dengan perkembangan industri 4.0 dan revolusi industri 4.0," katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian TT Vision Holdings Bhd di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia di sini hari ini.

MTDC adalah pelabur di TT Vision dengan memiliki 29.55 peratus kepentingan.

Norhalim berkata TT Vision, bermula dalam bidang semikonduktor dan sistem pemeriksaan penglihatan pada 2002, merupakan sebuah syarikat yang telah menerima dana MTDC pada tahun 2010, dan kini memperluaskan segmen perniagaannya ke dalam bidang robotik.

"Syarikat ini juga telah menjalin banyak kerjasama dengan universiti tempatan terutamanya Universiti Sains Malaysia dalam melakukan kerja-kerja penyelidikan.

"Kita akan terus menyokong TT Vision sehingga ia mampu disenaraikan di dalam Pasaran ACE dan jika perkembangan memberangsangkan, kita akan menggerakkannya ke Pasaran Utama pula," katanya.

Pada masa ini, Norhalim berkata terdapat dua lagi syarikat teknologi yang sedang bekerjasama dengan perbankan pelaburan untuk disenaraikan di Pasaran ACE  tahun hadapan.

"Syarikat-syarikat ini terlibat dalam Objek Rangkaian Internet (IoT), robotik dan teknologi hijau. Pada ketika ini, penyenaraian kedua-dua syarikat disahkan, tetapi kami akan cuba menambah lagi," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan