EKONOMI

TT VISION PERUNTUK LEBIH 4 JUTA PERBELANJAAN MODAL UNTUK PERBESAR KILANG

09/05/2019 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- TT Vision Holdings Bhd memperuntukkan perbelanjaan modal melebihi RM4 juta pada tahun ini untuk memperluas kilangnya di tanah seluas 0.81 hektar di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Kilang pembuatan peralatan visi mesin itu ketika ini pada fasa keempat pengembangannya dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya menjelang suku ketiga 2019 .

Pengerusi Eksekutifnya Goon Koon Yin berkata pengembangan itu akan meningkatkan jumlah keluasan lantai kilang tersebut kepada 53,000 kaki persegi berbanding 22,000 kaki persegi, selain meningkatkan kapasiti operasi.

“Buat masa ini, kami menggunakan 80 peratus kapasiti daripada pelan pembuatan semasa dan sudah tiba masanya kami mengembangkan kemudahan ini selepas menerima permintaan lebih tinggi bagi produk kami dari dalam dan luar negara,” katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa penyenaraian syarikat itu di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia hari ini, Goon berkata pihaknya juga akan menggunakan perbelanjaan modal untuk memperkukuh pusat penyelidikan dan pembangunannya kerana syarikat tersebut berusaha memperkenalkan produk dan peralatan baharu di pasaran.

Sementara itu, syarikat itu juga merancang menembusi pasaran luar negara termasuk Taiwan dan negara Kesatuan Eropah.

“Kami akan terlibat dalam beberapa pameran dan persidangan di seluruh negara untuk mempromosi dan memperkenalkan produk kami di pasaran antarabangsa,” kata Yin.

Sehingga kini, TT Vision mengeksport produknya di pelbagai negara termasuk Korea Selatan, China, Hong Kong, Jerman, Thailand, Amerika Syarikat, Singapura dan Filipina.

Eksport menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah perolehan semasa syarikat.

TT Vision memulakan dagangan sulungnya pada 21 sen, premium tiga sen berbanding harga tawaran 18 sen, dengan 50,000 saham diniagakan.

Langkah tawaran awam permulaan itu merangkumi tawaran saham persendirian sebanyak 40 juta saham biasa baharu yang meraih RM7.2 juta, dengan permodalan pasaran pada RM69.03 juta.

TT Vision merupakan syarikat penerima pelaburan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Ia terlibat dalam pemeriksaan optoelektronik, wafer dan sel solar, komponen diskret dan litar bersepadu serta peralatan robotik berpandukan visi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan