DUNIA > BERITA

Suspek Maut Selepas Lepaskan Tembakan Berhampiran Rumah Putih

24/05/2026 10:10 AM

WASHINGTON, 24 Mei (Bernama-Anadolu) -- Seorang suspek maut pada Sabtu selepas didakwa melepaskan tembakan berhampiran kompleks Rumah Putih, menurut Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi.

Agensi itu dalam satu kenyataan berkata insiden berkenaan berlaku sejurus selepas 6 petang waktu tempatan (2200 GMT) berhampiran 17th Street dan Pennsylvania Avenue NW, di luar kawasan Rumah Putih.

Pihak berkuasa berkata seorang individu bertindak “mengeluarkan senjata daripada begnya dan mula melepaskan tembakan” di kawasan itu.

“Polis Perkhidmatan Rahsia membalas tembakan, mengenai suspek yang kemudian dibawa ke hospital berhampiran dan disahkan meninggal dunia. 

"Ketika insiden itu, seorang orang awam turut terkena tembakan,” menurut kenyataan itu sambil menambah tiada pegawai cedera.

Keadaan orang awam itu belum diketahui.

Agensi itu turut mengesahkan Presiden Donald Trump berada di dalam Rumah Putih ketika insiden berlaku.

ABC News, yang memetik seorang pegawai Rumah Putih melaporkan bahawa ketika kejadian, Trump berada di Pejabat Oval dan sedang bekerja bersama pembantunya Steven Cheung, Natalie Harp, Margo Martin dan lain-lain.

Insiden itu sedang disiasat, menurut Perkhidmatan Rahsia.

Ketua FBI Kash Patel berkata agensinya berada di lokasi kejadian dan membantu Perkhidmatan Rahsia.

Jabatan Polis DC berkata pihaknya turut berada di lokasi siasatan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan