TEHRAN, 27 Feb (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata pada Khamis malam bahawa Tehran dan Washington “semakin hampir mencapai persetujuan” mengenai beberapa isu, dan kesungguhan jelas ditunjukkan oleh kedua-dua pihak, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap kepada pemberita selepas berakhirnya pusingan ketiga rundingan nuklear tidak langsung dengan Amerika Syarikat (AS) di Geneva, Araghchi berkata kesungguhan antara kedua-dua pihak “lebih ketara berbanding sebelum ini.”
Beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa pasukan teknikal akan memulakan perbincangan dan semakan di Vienna bermula Isnin.
Satu lagi pusingan rundingan akan diadakan dalam tempoh kurang seminggu, tambahnya.
Araghchi, yang mengetuai delegasi Iran ke rundingan itu, berkata pada Khamis menyaksikan antara “pusingan paling serius dan paling panjang” dalam rundingan, sambil menambah bahawa kehadiran ketua agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rafael Grossi, “membantu dari sudut teknikal.”
Isu Majlis Keselamatan PBB dan sekatan AS adalah antara tuntutan Iran, dan dipersetujui bahawa perkara itu akan dibincangkan dengan lebih terperinci minggu depan, katanya.
Diplomat tertinggi itu menambah bahawa dalam aspek pelonggaran sekatan, pihak Iran telah “menggariskan dengan jelas” tuntutan khususnya.
Araghchi berkata terdapat persetujuan mengenai “kebanyakan elemen” dalam potensi perjanjian serta cara ia ditangani, namun ia memerlukan “perbincangan terperinci dan teknikal.”
Atas sebab itu, katanya, Tehran memutuskan pakarnya akan mengadakan mesyuarat pada Isnin dengan agensi nuklear PBB, yang akan membincangkan beberapa aspek teknikal tertentu, selepas itu keputusan akan dibuat dalam mesyuarat di peringkat politik.
Pusingan ketiga rundingan nuklear tidak langsung antara Iran dan AS di Geneva pada Khamis di bawah pengantaraan Oman merupakan yang paling lama daripada tiga pusingan rundingan yang diadakan setakat ini. Rundingan Khamis dibahagikan kepada dua sesi sebelum dan selepas rehat, ketika kedua-dua pihak berunding dengan ibu negara masing-masing.
Menteri Luar Oman Badr al-Busaidi, yang bertindak sebagai pengantara, melaporkan “kemajuan signifikan” dalam rundingan itu.
“Kami akan menyambung semula tidak lama lagi selepas perundingan di ibu negara masing-masing. Perbincangan di peringkat teknikal akan berlangsung minggu depan di Vienna. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas usaha mereka: para perunding, IAEA, dan kerajaan Switzerland sebagai tuan rumah,” katanya menerusi platform media sosial X.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial