DUNIA > BERITA

Trump Ucap Tahniah Kepada Takaichi Atas Kemenangan Parti Dalam Pilihan Raya Jepun

09/02/2026 12:09 PM

(mengolah intro)

 

ISTANBUL, 9 Feb (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi atas kemenangan besar Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah dalam pilihan raya umum pada Ahad, serta mendoakan beliau “kejayaan besar” dalam melaksanakan “Agenda Konservatif, Keamanan Melalui Kekuatan”.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya, Trump berkata: “Keputusan berani dan bijak Sanae untuk mengadakan pilihan raya membuahkan hasil yang amat besar. Partinya kini menguasai badan perundangan dengan memegang majoriti dua pertiga yang bersejarah - kali pertama sejak Perang Dunia Kedua,” lapor Anadolu Ajansi.

Beliau menyifatkan Takaichi sebagai “pemimpin yang amat dihormati dan sangat popular”, sambil menyatakan adalah satu penghormatan untuk menyokong beliau dan gabungannya sepanjang kempen itu.

“Rakyat Jepun yang hebat, yang mengundi dengan penuh semangat, akan sentiasa mendapat sokongan padu saya,” tulisnya.

Beberapa pegawai AS dan Kanada turut mengucapkan tahniah kepada Takaichi.

“Tahniah setulusnya kepada Perdana Menteri Takaichi atas kemenangan bersejarah beliau, memperoleh majoriti pilihan raya terbesar pascaperang dalam sejarah Jepun,” tulis Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent di platform media sosial X.

“Seperti yang dinyatakan @POTUS, beliau tidak akan mengecewakan rakyat Jepun,” tambahnya, merujuk kepada Trump.

“Apabila Jepun kukuh, AS juga kukuh di Asia, dan hubungan erat Perdana Menteri dengan Presiden Trump jelas menggambarkan ikatan berkekalan antara negara kita,” katanya.

Takaichi menyambut baik sokongan Trump dengan menyatakan potensi pakatan AS-Jepun adalah “tanpa batasan” serta menegaskan bahawa kerjasama itu “dibina atas kepercayaan mendalam dan kerjasama rapat serta kukuh.”

Perdana Menteri Kanada Mark Carney turut mengucapkan tahniah kepada Takaichi atas “kemenangan mutlak” dalam pilihan raya itu.

“Saya menantikan kerjasama dengan anda untuk terus memperkukuh perkongsian kukuh antara Kanada dan Jepun demi mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya di X.

LDP memperoleh sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 465 kerusi di dewan rendah, meningkat daripada 198 kerusi sebelum pilihan raya dan jauh melepasi 233 kerusi yang diperlukan untuk majoriti, yang hilang pada pilihan raya 2024, menurut unjuran agensi berita Kyodo Jepun.

Parti itu menjadi yang pertama dalam era pascaperang Jepun mencapai majoriti dua pertiga di dewan rendah.

Takaichi membubarkan dewan itu bulan lalu bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan