MANILA, 26 Jan (Bernama-PNA) -- Malacanang pada Isnin memaklumkan yang Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. kembali menjalankan jadual kerja seperti biasa selepas menjalani pemerhatian perubatan semalaman minggu lalu, sambil menolak dakwaan yang beliau memerlukan pembedahan dan menyifatkannya sebagai berita palsu, lapor Agensi Berita Filipina.
Pegawai Akhbar Istana Claire Castro berkata keadaan Presiden bertambah baik dan beliau kini sudah menghadiri mesyuarat di Malacanang.
“Pada masa ini, kami boleh mengatakan yang keadaan Presiden adalah baik kerana beliau sedang menghadiri mesyuarat,” kata Castro dalam sidang media di Istana.
Marcos, 68, dibawa ke hospital pada malam 21 Jan selepas mengalami ketidakselesaan dan disahkan menghidap divertikulitis, iaitu keradangan kantung kecil atau divertikula di usus besar.
Presiden, dalam satu mesej video, menenangkan orang ramai mengenai tahap kesihatannya.
Castro berkata hantaran di media sosial yang mendakwa Presiden akan menjalani atau telah menjalani pembedahan berkaitan keadaan itu, adalah palsu.
“Tiada maklumat sedemikian … itu berita palsu,” katanya.
Apabila ditanya sama ada Presiden akan turun bertemu dengan orang awam selepas beberapa acara dibatalkan minggu lalu, Castro berkata dokumentasi mesyuarat Presiden mungkin akan dikeluarkan bagi menunjukkan yang beliau berada dalam keadaan baik.
Istana sebelum ini memaklumkan yang Presiden dijadualkan mengadakan mesyuarat dengan Majlis Ekonomi dan Pembangunan di Malacanang pada pagi Isnin.
Apabila ditanya sama ada Marcos kini boleh dianggap “kembali normal,” Castro menjawab secara positif.
-- BERNAMA-PNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial