BANGKOK, 23 Jan (Bernama) -- Thailand sedang mempergiat pengawasan terhadap situasi virus Nipah di India dan memperkukuh penyelarasan melalui rangkaian One Health sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan penularan merentas sempadan.
Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) di bawah Kementerian Kesihatan Awam memaklumkan bahawa Thailand kekal dalam kesiapsiagaan tinggi susulan laporan mengenai lima kes virus Nipah yang disahkan di Benggala Barat, India, termasuk jangkitan dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan berhampiran Kolkata.
“Thailand kekal dalam kesiapsiagaan tinggi dan sedang memperkukuh langkah pencegahan dengan mengintegrasikan pengawasan serta kesiapsiagaan di semua sektor berkaitan melalui pendekatan One Health,” kata DDC dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web Jabatan Perhubungan Awam pada Jumaat.
DDC menyatakan bahawa laporan antarabangsa menunjukkan penyakit itu pada mulanya mungkin menunjukkan gejala seakan-akan selesema, seperti demam dan sakit kepala, namun boleh berkembang kepada keadaan yang teruk, termasuk komplikasi neurologi.
Ia menggalakkan orang ramai untuk terus mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi dan mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit virus Nipah merupakan jangkitan zoonotik yang boleh menjangkiti manusia melalui sentuhan dengan haiwan yang dijangkiti, makanan yang tercemar, atau secara langsung daripada individu ke individu yang lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial