DUNIA > BERITA

Lari Dari Musim Sejuk, Lebih 17,000 Burung Air 'Bercuti' Di Tasik Indawgyi, Myanmar

20/01/2026 07:49 PM

membetulkan ejaan nama tasik pada tajuk dibaca sebagai ...” TASIK INDAWGYI”

 

YANGON, 20 Jan (Bernama-Xinhua) -- Lebih 17,000 burung air migrasi daripada 29 spesies kini menghabiskan musim sejuk di Tasik Indawgyi, tasik air tawar terbesar di Myanmar di Kachin, kata seorang pegawai pada Selasa, lapor Xinhua.

U Maung Win, warden Perlindungan Hidupan Liar Tasik Indawgyi, berkata angka itu diperoleh daripada Banci Burung Air Asia yang dijalankan pada 10 Jan lepas dengan kerjasama Fauna dan Flora Antarabangsa, organisasi ekopelancongan tempatan Inn Chit Thu dan peminat burung tempatan.

Menurut tinjauan itu, sebanyak 24,177 burung air melibatkan 46 spesies direkodkan di tasik tersebut termasuk 17,275 burung air migrasi daripada 29 spesies dan 6,902 burung tempatan (17 spesies), katanya.

U Maung Win menambah bahawa musim sejuk kali ini menyaksikan peningkatan 1,060 burung air migrasi dan satu spesies tambahan berbanding tahun lepas.

Burung air dari luar biasanya tiba di Tasik Indawgyi pada Oktober dan terbang pulang pada Mei.

Bagi menandakan ketibaan dan kepergian pengembara udara itu, pihak berkuasa tempatan menganjurkan kempen kesedaran bertujuan mengetengahkan kepentingan melindungi spesies berkenaan, katanya.

Myanmar terletak di sepanjang dua laluan penghijrahan burung iaitu Laluan Terbang Asia Timur-Australasia dan Laluan Terbang Asia Tengah.

Santuari Hidupan Liar Tasik Indawgyi terletak di Laluan Terbang Asia Timur-Australasia.

Kedatangan burung air membawa manfaat kepada rantau ini. Burung migrasi memakan serangga yang merosakkan tanaman sekali gus membantu meningkatkan hasil pertanian.

Kehadiran bermusim unggas itu juga membantu penduduk tempatan mencari rezeki menerusi ekopelancongan dan aktiviti ekonomi berkaitan, tambahnya.

Pada Jun 2017, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menetapkan Tasik Indawgyi sebagai tapak Rizab Manusia dan Biosfera.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan