DUNIA > BERITA

Angka Kematian Nahas Tren Di Sepanyol Meningkat 24 Orang

19/01/2026 02:41 PM

OVIEDO (Sepanyol) / ISTANBUL, 19 Jan (Bernama-Anadolu) -- Sebanyak 24 maut dan 73 cedera dalam kemalangan melibatkan dua tren berkelajuan tinggi di selatan Sepanyol malam Ahad, lapor pihak berkuasa.

15 daripada yang cedera berada dalam keadaan parah, lapor Presiden Wilayah Andalusia Juanmo Moreno sambil menambah pasukan perubatan turut merawat 170 orang yang mengalami kecederaan ringan di hospital lapangan, lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar awam RTVE.

Kemalangan berlaku kira-kira 7.40 malam waktu tempatan apabila sebuah tren dari Malaga ke Madrid tergelincir daripada landasan berdekatan Adamuz, Cordoba dan memasuki laluan sebelah.

Ini menyebabkan tren kedua yang menuju ke selatan dari Madrid ke Huelva turut terkeluar landasan.

Menteri Pengangkutan Sepanyol Oscar Puente mengesahkan menerusi X bahawa dua gerabak depan tren kedua terpelanting dari landasan dan mengakui bahawa laporan daripada lapangan sangat serius.

Menurut pihak berkuasa seperti dipetik RTVE, 25 mangsa dalam keadaan parah,

Bercakap kepada pemberita awal pagi Isnin, Puente menyifatkan nahas itu sebagai “pelik” menyatakan bahawa ia berlaku pada bahagian lurus landasan yang telah dinaik taraf pada Mei dengan pelaburan €700 juta (US$728 juta).

Beliau menambah landasan berkenaan sepatutnya dalam keadaan yang sempurna dan tren itu masih baharu iaitu baru berusia empat tahun.

Datuk Bandar Adamuz Rafael Moreno pertama tiba di lokasi kejadian bersama-sama polis tempatan. 

“Saya nampak seorang penumpang dalam keadaan serius,” kata Moreno kepada surat khabar tempatan Sepanyol El Pais. “Ketika itu tiada lampu, waktu malam. Keadaan sangat teruk.”

Kemalangan itu memaksa operasi tren berkelajuan tinggi antara Madrid dan Andalusia digantung dan pihak berkuasa mengesahkan laluan akan terus ditutup hingga Isnin 19 Jan.

Perdana Menteri Pedro Sanchez membatalkan agenda rasminya pada Isnin untuk memantau insiden itu manakala kerajaan mengerahkan pasukan kecemasan tentera untuk membantu di lokasi.

Presiden Wilayah Madrid, Isabel Diaz Ayuso menyatakan bahawa pasukan kecemasan dan ahli psikologi sedang dikerahkan ke Stesen Atocha Madrid untuk membantu keluarga yang menunggu.

Keluarga diraja Sepanyol juga menyatakan kebimbangan dan mengucapkan takziah kepada waris mangsa, menurut laporan.

Salvador Jimenez, seorang wartawan radio nasional Sepanyol RNE, berada dalam tren yang dalam perjalanan ke Madrid.

Beliau memberitahu penyiar awam RTVE bahawa satu gerabak daripada tren telah terbalik sepenuhnya.

 "Kami meninggalkan Malaga tepat pada waktunya. Terdapat detik yang terasa seperti gempa bumi dan ketika itulah kereta api tergelincir," katanya menceritakan kejadian itu.

Menurut Jimenez penumpang menggunakan tukul untuk memecahkan tingkap bagi melarikan diri dan akhirnya dipindahkan oleh petugas kecemasan.

Sebelum ini bencana kereta api terburuk di Sepanyol berlaku pada 2013, apabila tren berkelajuan tinggi dalam perjalanan dari Madrid ke Galicia tergelincir, membunuh 79 orang dan mencederakan 179 yang lain.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan