ISTANBUL, 9 Jan (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis mengunjurkan ekonomi global dijangka berkembang sebanyak 2.7 peratus pada 2026, turun sedikit daripada 2.8 peratus dalam analisis sebelum ini, lapor Anadolu Ajansi.
Laporan Situasi dan Prospek Ekonomi Dunia 2026 PBB turut meramalkan ekonomi dunia akan berkembang sebanyak 2.9 peratus pada 2027.
Menurut laporan itu, ekonomi global menunjukkan daya tahan yang baik, namun memberi amaran bahawa ketegangan perdagangan dan kesulitan kewangan mula membayangi prospek pertumbuhan Itu.
PBB menyatakan bahawa daya tahan luar jangka yang dilihat tahun lepas berdepan kenaikan mendadak tarif Amerika Syarikat (AS) telah membantu mengekalkan pertumbuhan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang kukuh serta penurunan kadar inflasi, namun kelemahan asas masih berterusan.
Laporan itu juga menyatakan bahawa pelaburan yang lemah dan ruang fiskal yang terhad memberi tekanan kepada aktiviti ekonomi, sekali gus meningkatkan kemungkinan ekonomi global akan menyusut ke arah laluan pertumbuhan yang lebih perlahan secara kekal berbanding tempoh prapandemik.
Peredaan separa dalam ketegangan perdagangan telah membantu mengehadkan gangguan dalam perdagangan antarabangsa, namun kesan tarif yang tinggi dijangka menjadi lebih ketara pada 2026 di tengah-tengah ketidaktentuan makroekonomi yang semakin meningkat.
Keadaan kewangan bertambah baik susulan pelonggaran dasar monetari dan sentimen pasaran yang lebih positif, namun risiko kekal tinggi terutamanya disebabkan oleh penilaian yang melambung tinggi dalam sektor berkaitan pembangunan pesat kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, tahap hutang dan kos pinjaman yang tinggi mengehadkan ruang dasar, terutamanya bagi kebanyakan ekonomi sedang membangun.
Laporan itu turut menunjukkan perdagangan global terbukti berdaya tahan pada 2025 dengan pertumbuhan 3.8 peratus, kadar yang lebih pantas daripada jangkaan meskipun berdepan ketidaktentuan dasar dan kenaikan tarif.
Pertumbuhan ekonomi di AS diunjurkan pada kadar dua peratus tahun ini dan 2.2 peratus pada tahun depan.
Kesatuan Eropah pula dijangka mencatatkan pertumbuhan 1.3 peratus pada 2026 dan 1.6 peratus pada 2027.
Ekonomi China dijangka berkembang 4.6 peratus tahun ini dan 4.5 peratus pada tahun depan, manakala ekonomi Turkiye dianggarkan tumbuh 3.9 peratus pada 2026 dan 4.1 peratus pada 2027.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial