BERLIN, 3 Jan (Bernama-dpa) -- Suruhanjaya Eropah menjangkakan peningkatan mendadak dalam pengusiran dari Kesatuan Eropah (EU) sepanjang tahun lepas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik Pesuruhjaya Migrasi EU, Magnus Brunner.
"Kadar pengusiran meningkat daripada 19 peratus pada 2023 kepada 27 peratus dalam tiga suku pertama 2025. Ini bermakna kita berkemungkinan mencapai kadar pengusiran tertinggi sejak 2019 pada tahun ini," kata Brunner kepada akhbar Jerman, Welt edisi Ahad.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah itu "masih jauh daripada mencukupi."
"Kita mesti memerangi migrasi haram dari semua sudut," kata Brunner. Menurut beliau, ini termasuk pengusiran secara konsisten terhadap individu yang telah kehilangan hak untuk tinggal di EU, serta "menolak dengan segera permohonan individu yang mempunyai peluang tipis untuk menerima suaka."
Beliau berkata perkara itu juga memerlukan kerjasama erat dengan negara ketiga bagi memastikan orang ramai tidak memulakan perjalanan migrasi melalui laluan yang berbahaya.
Negara anggota EU telah memeterai perjanjian meluas mengenai aspek utama dasar migrasi pada awal Disember di Brussels.
Antara langkah lain yang dipersetujui termasuk meningkatkan tekanan terhadap pemohon suaka yang ditolak dan menjadikan prosedur pengusiran lebih cekap.
Selain itu, pembinaan pusat penghantaran pulang di negara ketiga di luar EU juga bakal dibenarkan pada masa hadapan.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial