DUNIA > BERITA

PM Albanese Puji Semangat Rakyat Australia Susulan Serangan Di Bondi Beach

31/12/2025 03:50 PM

CANBERRA, 31 Dis (Bernama–Xinhua) -- Perdana Menteri Anthony Albanese memuji rakyat Australia atas tindak balas mereka terhadap serangan keganasan di Bondi Beach dalam ucapan Tahun Baharunya yang dikeluarkan pada Selasa malam, lapor Xinhua.

Dalam mesej video tahunan sempena akhir tahun 2025 itu, Albanese berkata kegembiraan yang lazimnya dirasai rakyat Australia pada permulaan tahun baharu “diselubungi kesedihan” berikutan insiden tembakan maut yang mengorbankan 15 orang di satu festival Yahudi di Bondi Beach, Sydney, awal Disember lepas.

Perdana Menteri berkata seluruh negara turut merasai kesedihan atas setiap nyawa yang terkorban dan setiap kehidupan yang berubah selama-lamanya akibat serangan ganas itu, namun tindak balas terhadap insiden berkenaan memperlihat “yang terbaik daripada semangat Australia, dengan segala keberanian dan keprihatinannya.”

“Dan itulah sebabnya saya berasa optimis dan bertekad bahawa pada tahun baharu ini kita akan bangkit menghadapi cabaran mendatang dengan cara yang sama seperti yang sentiasa dilakukan oleh rakyat Australia - dengan bekerjasama dan saling menjaga antara satu sama lain,” katanya.

Albanese mengakhiri ucapan itu dengan menyatakan yang rakyat Australia akan bekerjasama pada  2026 untuk menulis “bab seterusnya” dalam kisah negara itu secara positif.

--BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan