BEIJING, 13 Dis (Bernama-Xinhua) -- China telah mengeluarkan satu piawaian wajib nasional berkenaan pemadaman maklumat bagi produk elektronik untuk mengurangkan risiko kebocoran data dalam edaran peranti terpakai, melaporkan Xinhua, memetik pihak berkuasa pada Sabtu.
Menurut Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Ruang Siber Pusat, piawaian ini bertujuan untuk menyeragamkan kaedah teknikal bagi memadam data daripada produk elektronik dan membimbing pengendali kitar semula untuk menambah baik pengurusan dan langkah teknikal, sekali gus mencegah kebocoran data dalam pasaran terpakai.
Piawaian ini akan berkuat kuasa pada 1 Jan, 2027.
Di bawah piawaian itu, pengilang dikehendaki menyediakan fungsi pemadaman data terbina dalam. Sekiranya fungsi sedemikian tidak boleh dibangunkan, pengilang mesti menawarkan alat pemadaman luaran, memaklumkan pengguna mengenai alat pihak ketiga yang tersedia, atau menyediakan perkhidmatan pemadaman data percuma.
Pengendali kitar semula mesti secara proaktif mengingatkan pengguna untuk memadam data mereka sebelum pungutan dan dilarang mengakses atau menyimpan data pengguna tanpa kebenaran.
Mereka juga dikehendaki menggunakan alat yang mematuhi piawaian untuk memadam data pengguna, mengesahkan keberkesanan pemadaman sebelum jualan semula, dan memastikan peranti yang mengandungi data tidak dipadam tidak dijual atau dieksport semula.
Pengendali kitar semula mesti menyimpan rekod operasi pemadaman dan keputusan pengesahan selama sekurang-kurangnya tiga tahun.
--BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial