KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Malaysia perlu kekal berwaspada dan berpegang teguh kepada dasar berkecuali di tengah-tengah persaingan kuasa global yang semakin sengit, sambil mengutamakan kepentingan negara mengatasi tekanan domestik dan politik, kata seorang bekas diplomat.
Profesor adjung di Universiti Malaya dan Taylor’s University, Datuk Dr Ilango Karuppannan berkata meskipun negara telah mencapai kemajuan sejak merdeka, Malaysia perlu kekal konsisten dalam hal ehwal diplomatik bagi melindungi kepentingan negara.
“Justeru, waspada adalah kunci apabila kita bercakap mengenai diplomasi.
"Kepentingan negara mesti menjadi pertimbangan utama dalam setiap tindakan yang diambil.
“Kita perlu konsisten terhadap perkara yang penting dan negara membangun memerlukan ruang untuk membangun.
"Kita tidak seharusnya didesak untuk memihak kepada mana-mana pihak, justeru Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) kekal relevan sepanjang masa,” katanya dalam program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk "Origins of Malaysia's Middle East Foreign Policy" baru-baru ini.
Karuppannan, yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad di barisan hadapan diplomasi termasuk berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Singapura dan Cyprus, berkata dasar luar Malaysia kekal konsisten sejak lebih enam dekad lalu, iaitu sejak awal 1960-an.
“Malaysia tidak mencampuradukkan dasar luar dengan urusan domestik.
"Dasar luar sentiasa dikekalkan sebagai isu dasar luar kerana pihak berkepentingan di luar negara perlu memahami bahawa pendirian kita berpaksikan pemikiran dasar luar, bukan pertimbangan domestik,” katanya.
Beliau berkata pendekatan jangka panjang itu terus dizahirkan dalam pendirian Malaysia terhadap isu Timur Tengah, khususnya sokongan berterusan terhadap penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel, sambil menambah bahawa Malaysia antara negara terawal membuka pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Mengimbas kembali hubungan diplomatik awal negara, Karuppannan berkata sebagai sebuah negara muda serta pengeluar utama bijih timah dan getah, Malaysia memerlukan rakan antarabangsa bagi menjamin pasaran, pelaburan dan sokongan pertahanan.
Beliau berkata konflik seperti Konfrontasi yang dilancarkan oleh Indonesia pada 1963 turut membentuk dasar luar awal negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial