DUNIA > BERITA

Dewan Perniagaan Pelawa Rakyat Malaysia Teroka Sektor Pertumbuhan Tinggi Di Kemboja

08/12/2025 01:57 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 8 Dis (Bernama) -- Sebuah badan perdagangan utama menggesa pelabur Malaysia mempertimbangkan sektor pertumbuhan tinggi di Kemboja yang menawarkan kelebihan menarik, daripada aspek kesalinghubungan hinggalah pasaran pengguna yang semakin berkembang.

Dewan Perniagaan Malaysia di Kemboja (MBCC) yang berpangkalan di Phnom Penh berkata sudah tiba masanya syarikat Malaysia memanfaatkan potensi terpendam ekonomi Kemboja dan beralih daripada sektor tradisional.

“Kita telah membina asas kukuh dari segi diplomasi dan perdagangan dengan Kemboja tahun ini, dan 2026 akan menjadi tahun pertumbuhan.

“Rakyat Malaysia biasanya menumpukan kepada sektor kewangan, infrastruktur dan telekomunikasi. Saya fikir sudah tiba masanya rakyat Malaysia memasuki industri sebenar seperti pembuatan, pemprosesan makanan, dan perusahaan kecil dan sederhana bernilai tinggi seperti FMCG (barangan pengguna bergerak pantas) yang merupakan kekuatan Malaysia,” kata Presiden MBCC Tan Khee Meng kepada Bernama baru-baru ini.

Tan berkata ini boleh ditakrifkan sebagai Malaysia 2.0, selepas kemasukan rakyat Malaysia pada 1990-an, sebaik sahaja konflik dalaman Kemboja berakhir, yang dianggap sebagai generasi pertama pelabur.

Rakyat Malaysia kekal sebagai pelabur penting dalam ekonomi Kemboja selama lebih tiga dekad, terlibat dalam sektor sensitif seperti tenaga dan telekomunikasi, pembinaan, peruncitan dan pembuatan.

Kedua-dua ekonomi merupakan rakan dagang yang kukuh dalam lingkungan ASEAN serta anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang melibatkan 16 negara di Asia.

Pelaburan Malaysia di Kemboja mencecah RM3.9 bilion (US$961.4 juta) sepanjang Januari-Oktober tahun ini, meningkat 38.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kemboja mempunyai kelebihan tersendiri. Ia terletak di lokasi strategik, diapit oleh negara yang lebih besar. Ia berkecuali dan bersahabat dengan semua negara anggota ASEAN.

“Malaysia dan Kemboja telah meningkatkan hubungan mereka ke tahap baharu pada 2025, jauh lebih tinggi daripada apa yang kita bina sepanjang tiga dekad lalu. Kita berada di puncak kini, dari segi hubungan rakyat dengan rakyat, kerajaan dengan kerajaan serta hubungan ekonomi yang lebih baik,” kata Tan.

Jenama terkemuka Malaysia termasuk AirAsia, Smart Axiata (anak syarikat Axiata Group Bhd), Malaysia Airlines, Tenaga Nasional, Sunway Hotel, Public Bank, CIMB, Maybank, RHB Bank dan Hong Leong Bank telah membawa kepakaran ke Kemboja.

Tan berkata pertikaian sempadan Kemboja-Thailand telah menjejaskan rantaian bekalan ke Kemboja, menjadikan Malaysia sumber alternatif bagi banyak produk dan perkhidmatan yang lazimnya dibekalkan oleh Thailand.

“Data menunjukkan lebih banyak produk Malaysia memasuki Kemboja, dan kami menjangkakan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara akan mencapai RM4.11 bilion (US$1 bilion) menjelang akhir tahun ini.

“Ini amat menggalakkan dan menunjukkan keyakinan rakyat Kemboja terhadap kualiti produk Malaysia. Inilah sentimen semasa, dan rakyat Malaysia boleh menjadi sumber bekalan alternatif,” kata Tan.

Ekonomi Kemboja dijangka berkembang 4.8 peratus pada 2025 dan menurun kepada empat peratus pada 2026, menurut unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa baru-baru ini.

Negara itu mempunyai populasi pengguna muda yang dinamik, dengan hampir 60 peratus daripada 17 juta penduduknya tergolong dalam Generasi Z.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan