KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Arab Saudi buat julung kali bakal menganjurkan "BEYOND PROFIT International Non-profit Forum" di Riyadh dari 3 hingga 5 Dis, menghimpunkan pemimpin global, pembuat dasar dan penggiat sektor bukan keuntungan untuk membincangkan masa depan sektor itu serta sumbangannya kepada pembangunan mampan dan impak sosial.
Forum itu dianjurkan oleh National Centre for Non-profit Sector (NCNP) dengan sokongan Pihak Berkuasa Am Konvensyen dan Pameran Arab Saudi (SCEGA) yang bertujuan menjadi platform bagi pertukaran pengetahuan, kerjasama serta inovasi merentasi sektor sosial global.
NCNP dalam satu kenyataan berkata lebih 80 penceramah daripada pelbagai bidang kepakaran dan sektor, termasuk tokoh serantau dan antarabangsa terkenal, akan menyertai forum berkenaan.
“Program itu menampilkan pelbagai perbincangan panel yang membincangkan topik penting yang memberi kesan kepada aspirasi semasa dan masa depan sektor berkenaan,” menurut kenyataan NCNP.
Menurut NCNP, antara sesi tumpuan forum termasuk “Building Trust Through Compliance and Transparency: Efficient, Digital, Pro-Impact”, “Give It Away, the Right Way: From Effective Altruism to 'No Strings' Approaches” dan “Purpose in the Age of AI: Advancing Mission Innovation Responsibly and at Scale.”
Perbincangan utama lain termasuk “The Social Impact Lifecycle: Aligning Donors, Investors, and Governments for Scaling”, “How Social Impact Contributes to Economic Growth”, dan “Beyond 2030: Growing Aid, Tech, and Philanthropy”.
NCNP berkata forum pertama seumpamanya itu menekankan kedudukan Arab Saudi sebagai hab global bagi inovasi dan impak dalam sektor pembangunan dan sosial.
“Ia mencerminkan komitmen berterusan negara itu untuk membangunkan sektor bukan keuntungan sebagai pemacu utama pertumbuhan masa depan melalui visi moden, mekanisme pembiayaan inovatif dan pakatan strategik sejajar dengan transformasi global,” katanya.
Ia juga menyatakan bahawa forum itu menyumbang kepada pencapaian matlamat Wawasan 2030 Arab Saudi dan meningkatkan peranan sektor bukan keuntungan dalam membina masa depan yang lebih mampan dan makmur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial