DUNIA > BERITA

GELOMBANG HABA RAGUT 61 NYAWA SETAKAT INI DI THAILAND

10/05/2024 10:33 PM

BANGKOK, 10 Mei (Bernama-dpa) --  Gelombang haba luar biasa dengan suhu yang dirasai melebihi 52 darjah Celsius setakat ini telah meragut 61 nyawa di Thailand, menurut laporan agensi berita Jerman (dpa) yang memetik laporan Kementerian Kesihatan di Bangkok pada Jumaat.

Angka ini lebih dua kali ganda daripada jumlah kes strok haba yang direkodkan sepanjang tahun 2023. Kebanyakan kematian berlaku di bahagian timur laut yang pertanian merupakan sektor penting ekonomi.

Gelombang haba yang melanda dalam beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan suhu waktu malam kekal sekitar 30 darjah Celsius di Bangkok dan banyak kawasan lain di negara ini.

Suhu tengah hari yang dirasai - ukuran yang turut mengambil kira kelembapan dan kelajuan angin selain suhu udara - sering melebihi 50 darjah Celsius.

Pihak berkuasa telah menggesa orang ramai untuk mengehadkan masa di luar rumah.

Hujan berlaku di kebanyakan kawasan di negara ini pada awal minggu ini buat kali pertama dalam beberapa bulan. Suhu pada mulanya turun tetapi sejak itu meningkat semula melebihi 30 darjah Celsius.

Pakar cuaca mengaitkan suhu tinggi ini dengan fenomena El Niño, tetapi menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Asia juga mengalami pemanasan lebih cepat berbanding purata global.

Bangladesh, Vietnam, Myanmar dan Filipina juga mengalami suhu yang luar biasa tinggi.

--BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan