DUNIA

ASEAN DLP PROMOSIKAN LITERASI DIGITAL KEPADA PELBAGAI KUMPULAN DI RANTAU INI

17/04/2024 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Yayasan ASEAN dengan sokongan daripada Google.org, baru-baru ini telah melancarkan inisiatif serantau yang dikenali sebagai Program Literasi Digital ASEAN (ASEAN DLP) bertujuan meningkatkan celik digital merentasi pelbagai kumpulan di rantau ini.

"Dalam era digital hari ini, adalah amat penting untuk membolehkan semua orang, tanpa mengira keadaan fizikal mereka, celik digital, bukan sahaja untuk memerangi penyebaran maklumat palsu, tetapi untuk mengekalkan produktiviti," kata Yayasan ASEAN dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataan Yayasan ASEAN itu turut berkongsi pengalaman pelajar buta dari Sekolah Luar Biasa (SKB) Pembina National University di Jakarta, Indonesia yang menyertai aktiviti celik digital menerusi ASEAN DLP.

Pelajar ini telah dilatih oleh jurulatih utama ASEAN DLP iaitu Gina Solihat, Yani, Yunita Sari Oktavianingrum dan Nisa.

Seorang pelajar, Ryo berkata aktiviti itu membolehkan beliau aktif secara digital untuk belajar dan bermain permainan.

"Kami kini tahu bagaimana untuk melindungi data kami dan cara menggunakan Internet dengan betul," katanya.

Seorang lagi peserta, Baim meluahkan keterujaannya mengenai aplikasi media sosial yang baru diketahuinya seperti Instagram, Facebook dan Twitter.

Menurut Gina bantuan teknologi telah meningkatkan produktiviti dan penguasaan Internet pelajar buta dengan ketara.

"Pelajar OKU dapat menyesuaikan diri dan menggunakan teknologi sebaik mungkin, bukan sahaja dalam pembelajaran tetapi juga dalam menjalankan aktiviti media sosial bersama rakan-rakan," katanya dalam menjelaskan kesan luar biasa program celik digital kepada pelajar.

"Pada mulanya, mereka hanya menggunakan telefon bimbit, tetapi kini mereka telah mula menggunakan komputer riba untuk pelbagai tujuan," kata Gina.

Yayasan ASEAN berkata satu lagi aktiviti utama ASEAN DLP ialah penubuhan Kumpulan Penasihat Belia ASEAN (ASEAN YAG) yang bertujuan melancarkan kempen serantau dan kebangsaan untuk memerangi maklumat salah dan maklumat palsu di peringkat akar umbi.

Secara keseluruhan, yayasan itu berkata ia telah melancarkan 12 projek dengan kempen media sosial dalam talian untuk DoubleCheck di Singapura dan Projek Wargamas Digital (kelas digital warga emas) di Malaysia.

Kempen DoubleCheck mendidik remaja berusia 10 hingga 16 tahun untuk membangunkan kemahiran celik digital.

Projek Wargamas Digital menyasarkan warga emas, memberi tumpuan meningkatkan literasi dan kesedaran digital dan memerangi maklumat palsu dan maklumat salah dalam kalangan warga emas melalui empat fasa - penyelidikan dan tinjauan, pembangunan modul, jangkauan dan kesedaran serta penemuan dan penerbitan.

Kempen yang berlangsung dari Januari 2023 hingga Jun 2023, bertujuan untuk mengubah warga emas yang mengambil bahagian menjadi ejen perubahan yang dapat mengesan, membalas dan mencegah penyebaran maklumat salah dalam talian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan