BERITA TERGEMPAR   MEASAT BUAT MOU DENGAN PARCEL365 DAN M2B SERVICES BERKAITAN INISIATIF DIGITAL VILLAGE365 | 
DUNIA

Pakistan minta Belanda halang tindakan Islamofobia

25/01/2023 11:21 PM

NEW DELHI, 25 Jan  (Bernama) -- Pakistan pada Rabu meminta Belanda halang tindakan Islamofobia selepas seorang ekstremis dan ahli politik Belanda mencemarkan naskhah al-Quran.

Edwin Wagensveld pemimpin kumpulan pelampau Pegida Belanda pada Ahad mengoyak muka surat al-Quran berhampiran parlimen Belanda di The Hague dan memijaknya.

“Ini merupakan jenayah Islamofobia yang provokatif yang dilakukan atas alasan kebebasan bersuara,” kata Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan.

"Kami juga percaya kerajaan dan masyarakat antarabangsa bertanggungjawab secara amnya dalam mencegah perbuatan keji itu yang dilakukan dengan motif tersembunyi untuk mencetuskan kebencian dan keganasan agama," kata kementerian itu.

"Kebimbangan Pakistan akan disampaikan kepada pihak berkuasa Belanda. Kami menggesa mereka supaya berhati-hati dengan sentimen rakyat Pakistan dan umat Islam di seluruh dunia dan mengambil langkah untuk mencegah perbuatan kebencian dan Islamofobia itu," katanya.

Provokasi di Belanda itu menyusul tindakan membakar satu salinan kitab suci itu di luar Kedutaan Turki di ibu kota Sweden, Stockholm, oleh ekstremis anti-Islam Denmark Rasmus Paludan.

Al-Azhar institusi Islam terkemuka Mesir, menggesa pemulauan produk Sweden dan Belanda manakala anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam tindakan provokatif di kedua-dua negara Eropah itu.

"Masyarakat antarabangsa harus meningkatkan suara kolektif menentang Islamofobia dan bekerjasama untuk mempromosi keharmonian antara agama dan kewujudan bersama secara aman. Itulah semangat di sebalik resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2022 untuk menandakan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia," menurut kenyataan kementerian luar Pakistan.

Pada Selasa OIC menyuarakan kebimbangannya terhadap "manifestasi berterusan sikap tidak bertoleransi dan kebencian agama terhadap umat Islam di banyak tempat di dunia" dan menggesa kerajaan terbabit supaya mengambil langkah untuk menangani Islamofobia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan