BERITA COVID–19   Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | Trend kes COVID-19 di Labuan kembali meningkat | 
DUNIA

Kerjasama kunci keamanan di Laut China Selatan - Mesyuarat ASEAN

05/08/2022 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Menteri-menteri Luar ASEAN mengulangi pendirian untuk mengekalkan kerjasama dan keamanan di Laut China Selatan pada sesi Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan pada Khamis di Phnom Penh, Kemboja.

Untuk mencapai tujuan itu, ASEAN menyeru agar semua pihak mengelak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan di Laut China Selatan dan menggesa usaha dilakukan untuk menangani pertikaian selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

Mengenai situasi di Myanmar, negara-negara ASEAN berpendapat bahawa perlunya perbincangan mendalam mengenai isu ini, lapor Agensi Berita Vietnam.

Negara-negara itu mengisytiharkan mereka akan terus menjalinkan hubungan dengan Myanmar di bawah semangat ASEAN, dan berusaha untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara dan bekerjasama dengan Myanmar untuk mencapai penyelesaian kepada krisis yang sedang melanda.

Dalam mesyuarat ASEAN+1 dan ASEAN+3, haluan telah ditetapkan untuk menggalakkan kerjasama menerusi peranan utama yang dimainkan oleh ASEAN dalam hubungan serantau.

ASEAN dan rakan kongsinya bersetuju bahawa dialog dan kerjasama mampu menjamin keamanan, kestabilan, pembangunan mampan dan kemakmuran.

Sehubungan itu, pihak yang terlibat bersetuju untuk meningkatkan kerjasama ke arah pemulihan secara menyeluruh dan mampan selepas pandemik COVID-19.

ASEAN mengharapkan rakan kongsi di Asia Timur untuk menjalin kerjasama secara meluas dalam bidang seperti kesihatan awam, transformasi digital, teknologi inovatif, infrastruktur pintar, kualiti sumber manusia dan pembangunan hijau dan mampan.

Negara-negara terbabit juga ingin mengukuhkan kerjasama dalam bidang lain, termasuk tindak balas perubahan iklim, perlindungan alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti, dan penggunaan sumber marin.

ASEAN juga mengesahkan sokongan mereka terhadap dasar "Satu China", menekankan kepentingan pematuhan kepada prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Selain itu, ASEAN turut menekankan kepentingan dialog dalam menangani isu nuklear di Semenanjung Korea, khususnya dalam konteks ujian peluru berpandu balistik baru-baru ini.

ASEAN percaya bahawa pelucutan senjata nuklear Semenanjung Korea harus berdasarkan kawalan kendiri, sikap saling menghormati dan paling penting, pelaksanaan penuh resolusi berkaitan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan