BERITA COVID–19   PKP: Polis Petaling Jaya tambah dua lagi SJR | Kerajaan Kelantan larang gerai, penjaja tepi jalan beroperasi mulai esok | PKP: Sembilan sekatan jalan bermula hari ini | PKP: Sembilan sekatan jalan bermula hari ini | COVID: 666,495 individu terima dua dos vaksin setakat semalam - Dr Adham | 
DUNIA

Singapura kembali ke fasa dua pembukaan, perketat kemasukan di sempadan

04/05/2021 11:11 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 4 Mei  -- Singapura akan kembali ke fasa dua pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosial bermula 8 hingga 30 Mei.

Singapura kini berada di fasa tiga dari 28 Disember 2020.

Di bawah fasa dua, republik ini akan memperketat syarat kemasukan di sempadan mulai 7 Mei, jam 2359 untuk semua pelancong yang baru tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi.

Perkara itu diumumkan Pasukan Pelbagai Kementerian (MTF) COVID-19 pada sidang media maya di sini hari ini.

Pengerusi bersama MTF Lawrence Wong berkata beberapa negara terus mengalami lonjakan semula kes dan kemunculan varian baharu virus juga telah dikesan di Singapura.

Wong berkata jumlah kes tempatan dan komuniti juga terus meningkat, menandakan penularan kes  boleh meningkat jika tidak dibendung. 

"Kami akan mengambil langkah tegas untuk membendung jangkitan COVID-19 di Singapura," kata Wong yang juga Menteri Pendidikan.

Selain memperketat syarat kemasukan di sempadan, republik itu juga akan mengurangkan kebenaran masuk kepada warga asing dan penduduk tidak tetap.

MTF juga akan melanjutkan sejarah perjalanan sehingga 21 hari berbanding 14 hari, tetapi  tidak termasuk untuk Gelembung Perjalanan Udara dan Laluan Hijau Timbal Balik. 

Semakan semula tempoh Notis Duduk di Rumah (SHN) hingga 21 hari berbanding 14 hari juga akan dibuat.

Bagaimanapun, Australia, Brunei Darussalam, China, New Zealand, Taiwan, Hong Kong, dan Macau dikecualikan daripada semakan tersebut.

Mulai 8 Mei, langkah-langkah tambahan akan dikenakan untuk mengurangkan interaksi dalam kalangan masyarakat. Perkumpulan sosial hanya lima orang dibenarkan berbanding lapan sebelum ini.

Sementara itu, majikan mesti memastikan tidak lebih 50 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah kembali ke tempat kerja.

Buat masa ini, sehingga 75 peratus pekerja yang bekerja dari rumah dibenarkan kembali ke tempat kerja.

Sehingga tengah hari ini, Singapura melaporkan lima kes baharu COVID-19 membabitkan jangkitan tempatan.

Selain itu, terdapat 12 kes import, melibatkan mereka di bawah kategori SHN sebaik tiba di Singapura.

Secara keseluruhan, terdapat 17 kes baharu di Singapura hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 61,252.

Terdapat 10 kluster setakat ini dengan kes tertinggi berkaitan Kluster 62541, seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan