BERITA COVID–19   N.Sembilan benar solat Aidilfitri ikut kapasiti masjid | Tuanku Muhriz nasihat rakyat N. Sembilan rai Aidilfitri¬†secara sederhana¬† | PKPB: Sabah tidak benarkan rentas daerah mulai Isnin depan | PKPD di 16 lokaliti Sungai Ruan, tujuh di Sempalit, Pahang - Ismail Sabri | COVID: Malaysia catat 3,551 kes baharu hari ini - KP Kesihatan | 
DUNIA

Ketegasan kepemimpinan serantau perlu untuk pimpin Myanmar -- Syed Hamid

23/04/2021 03:24 AM

KUALA LUMPUR, 22 April  -- Menstabilkan kembali keadaan di Myanmar dan menangani kesan negatif ke atas seluruh rantau menuntut kepemimpinan dan diplomasi yang kuat, kata ketua Kumpulan Penasihat Malaysia untuk Myanmar Tan Sri Syed Hamid Albar.

Menjelang Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN di Jakarta Sabtu ini, Syed Hamid, yang juga bekas Menteri Luar menggesa pemimpin ASEAN segera menamatkan keganasan di Myanmar dan memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat.

Menurutnya ASEAN perlu sedar pergolakan negara itu adalah ancaman serius terhadap kestabilan serantau dan Tatmadaw (tentera Myanmar) harus memikul tanggungjawab dan bekerjasama dengan ASEAN untuk menyelesaikan dan mencegah krisis semakin buruk.

ASEAN mesti menegaskan usaha ini bukan bermakna pertubuhan itu melegitimasikan Majlis Pentadbiran Negara Tatmadaw sebaliknya menggesa mereka mencari jalan keluar, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Di samping ancaman yang ditimbulkan terhadap legasi kestabilan serantau sejak sekian lama, kredibiliti ASEAN juga dipertaruhkan, memandangkan rampasan kuasa dan tindak tanduk Tatmadaw secara terang-terangan melanggar Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN.

Syed Hamid berkata buat julung kalinya sejak penubuhannya pada 1967, kumpulan serantau dengan 10 negara anggota itu berdepan prospek satu daripada negara anggotanya akan musnah. 

"Kesan daripada kemusnahan itu akan merebak melangkaui sempadan Myanmar dan mencetuskan  ancaman besar terhadap keamanan dan keselamatan serantau. Jadi ASEAN perlu bertindak segera dan dalam jangka masa panjang mencegah Myanmar menjadi negara gagal,” katanya. 

Beliau menambah pemimpin ASEAN harus menawarkan menjadi perantara melalui Utusan Khas ASEAN, untuk membawa pihak yang berkenaan ke meja rundingan dan membuat perancangan bagi menyelesaikan krisis.

Syed Hamid berkata, ASEAN perlu mengusulkan penghantaran kumpulan kemanusiaan dan Pasukan Penilai Tindak Balas Kecemasan ASEAN (ERAT) bagi melihat segera keperluan yang diperlukan rakyat di kawasan terjejas.

Selain itu, katanya bantuan kemanusiaan perlu disalurkan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Palang Merah dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta menghantar pasukan pemantau untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Beliau berkata melindungi orang awam dan penyediaan perkhidmatan penting mesti menjadi keutamaan.

“Sistem kesihatan awam Myanmar semakin terjejas dan ketidakmampuan menguruskan pandemik COVID-19 akan menghalang pemulihan di wilayah itu kerana kelemahan sistem kesihatan akan mendorong ke arah kehancuran.

"Ujian saringan COVID-19 terhenti sejak 1 Februari, dan penghantaran 3.5 juta vaksin di bawah inisiatif  COVAX belum dapat dilakukan," katanya.

Menurutnya, ekonomi juga akan terjejas dan berjuta-juta berisiko terjerumus ke lembah kemiskinan, peningkatan pelarian domestik dan kebanjiran pelarian dari Myanmar.

Selain itu konflik bersenjata akan meningkat di banyak wilayah di Myanmar sekali gus menimbulkan konflik baharu dan membuka ruang kepada pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan