BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
DUNIA

BRI, pelan China untuk era pasca pandemik

22/04/2021 02:39 PM

BEIJING, 22 April  -- “Kita akan mempererat perkongsian kesihatan. Syarikat China telah menggalakkan pengeluaran vaksin bersama rakan-rakan yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) termasuk Malaysia, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan dan Turki. Kita akan bersama-sama melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat.”

Demikian antara inti pati ucapan Presiden China, Xi Jinping pada perasmian persidangan tahunan Forum Asia Boao (BFA) 2021 pada Selasa.

Mengimbau sejarah penubuhan BFA, penubuhannya dicadangkan bekas Perdana Menteri Australia, Bob Hawke, bekas Perdana Menteri Jepun, Morihiro Hosokawa dan bekas Perdana Menteri Filipina, Fidel Valdez Ramos, untuk bersama-sama menghadapi cabaran dan meneroka peluang di Asia selepas krisis ekonomi 1998.

Sebagai negara pengasas BFA, China dan Malaysia sentiasa berganding bahu dalam usaha menjadikan  Asia sebagai rantau paling dinamik dan berpotensi di dunia.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menjadi ahli Majlis BFA selama lapan tahun.

Menghadapi perubahan situasi global dan pandemik paling dahsyat sejak ratusan tahun lalu, BFA kali ini merupakan persidangan antarabangsa pertama yang boleh dihadiri peserta secara fizikal dalam tempoh wabak, sekali gus memperlihatkan pemulihan Asia pada era pasca pandemik.

Ini juga hasil daripada integrasi dan keterbukaan serantau.

Bagaimanapun, berdepan ketidaktentuan situasi global dan pandemik ini, telah menyaksikan terlalu banyak ketidakadilan berlaku.

Antaranya dalam isu vaksin, negara membangun seolah dibuli pihak Barat, sementara syarikat negara tertentu dikenakan sekatan dengan pelbagai alasan, bahkan turut mengakibatkan kehilangan nyawa yang berpunca daripada sekatan bekalan perubatan.

Tadbir urus global yang lebih adil dan rasional amat diperlukan pada era pasca pandemik, iaitu multilateral yang sebenar.

Segelintir negara Barat tidak layak mewakili seluruh dunia, dan kita sepatutnya mendengar lebih banyak suara dari negara membangun. Sementara itu, isu yang berkaitan dengan masa depan umat manusia perlu penglibatan semua negara.

Bagi pihak China, seruan tersebut sudah diterjemah menerusi pewujudan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Dalam ucapan perasmian BFA pada 2018, Presiden Xi menegaskan meskipun BRI dicadangkan China, tapi peluang dan hasil pencapaiannya dikongsi dengan dunia.

Bagi beliau, BRI bukan permainan geopolitik, tidak eksklusif untuk sesetengah pihak sahaja, dan tidak  memaksa mana-mana pihak untuk berniaga.

Menerusi ucapannya pada tahun ini, Presiden Xi mahu memperluas kerjasama BRI ke dalam sektor kesihatan awam, kesalinghubungan dalam bidang infrastruktur dan standard, pembangunan hijau serta pembasmian kemiskinan.

China menyifatkan Malaysia sebagai rakan penting dalam pembangunan bersama BRI dan antara negara terawal menyertai kerjasama BRI.

Kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang sudah bermula lebih awal daripada sebelum BRI diperkenalkan termsuk penubuhan taman perindustrian di Qinzhou dan Kuantan.

Selain itu, kerjasama pengeluaran vaksin pula menjadi pencapaian terkini kedua-dua pihak dalam rangka kerjasama BRI.

Jumlah vaksin yang disediakan oleh China kepada dunia lebih banyak berbanding jumlah keseluruhan disediakan Amerika Syarikat, Eropah dan India.

Namun, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kesihatan awam dan program imunisasi global.

Malaysia bersama beberapa negara lain seperti Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu, bersedia bekerjasama dengan China dalam bidang pengeluaran vaksin, dan akan menyediakan perlindungan kepada semua rakyat, bahkan mampu membantu pelbagai negara serantau pada masa depan.

Perkongsian, lebih terbuka, tidak memonopoli dan mengenakan sekatan, ialah aspek tadbir urus global yang diperlukan pada era pasca pandemik.

Pada zaman lampau, sutera dari China dihantar ke dunia melalui Jalan Sutera dan Laluan Sutera Maritim.

Kini, vaksin COVID-19 China pula disediakan kepada dunia berpandukan BRI, membantu pelbagai negara membangun yang sukar mendapatkan vaksin.

Terang lagi bersuluh, usaha-usaha ini memperlihatkan makna penting pembangunan BRI secara bersama dalam usaha mewujudkan komuniti berkongsi nasib.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan