BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
DUNIA

COVID: Thailand rancang beli lagi 35 juta dos vaksin

22/04/2021 02:50 AM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 21 April  -- Thailand merancang untuk mendapatkan 35 juta lagi dos vaksin COVID-19 menerusi beberapa syarikat pengeluar ketika negara itu bergelut menghadapi gelombang ketiga wabak. 

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata vaksin itu akan diperoleh dari dua atau tiga pengeluar dan akan diagihkan menjelang akhir tahun.

Katanya,cadangan pembelian tambahan itu diusulkan jawatankuasa pemerolehan vaksin diketuai penasihat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Prof Piyasakol Sakolsatayadorn.

“Sektor swasta akan membeli 10 hingga 15 juta dos vaksin COVID-19 untuk pekerja mereka. Vaksin akan diedarkan pada akhir tahun ini,” katanya menerusi laman Facebook rasminya. 

Setakat ini, Thailand telah memperoleh 65 juta dos vaksin AstraZeneca dan Sinovac sejak kempen vaksinasi bermula 28 Februari.

Thailand dijadual menerima tambahan 500,000 dos vaksin Sinovac pada 24 April sementara Kementerian Kesihatan Awam sedang di peringkat akhir untuk memuktamadkan perjanjian mengimport tambahan satu juta lagi dos AstraZeneca. 

Media tempatan melaporkan Thailand sedang berunding untuk mendapatkan lima hingga 10 juta dos Pfizer yang dijangka dihantar mulai Julai dan selesai pada Disember.

Thailand mencatat 1,458 lagi kes baharu COVID-19 dan dua pesakit meninggal dunia, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 46,643 dengan 110 kematian.

Penolong jurucakap CCSA Dr Apisamai Srirangsan berkata dari 1,458 kes baharu, 1,454 penularan tempatan termasuk 1,346 yang mendapatkan rawatan di hospital dan 108 melalui pengesanan kes aktif.

Empat kes import pula termasuk seorang wanita tempatan yang baru pulang dari Malaysia.

Beliau berkata Bangkok mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 365 kes diikuti Chiang Mai (134), Chonburi (80), Nonthaburi (69), Rayong (64) dan Samut Sakhon (54).

"Setakat bulan ini sahaja sebanyak 17,780 kes COVID-19 dan 16 kematian dilaporkan.

"Pada masa ini, terdapat 17,162 pesakit masih dirawat di hospital," katanya.

Katanya, dua kes kematian itu membabitkan wanita tempatan berusia 56 tahun dari Bangkok dan lelaki tempatan berusia 32 tahun dari Nonthaburi. Kedua-duanya mempunyai rekod penyakit kronik.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan