BERITA COVID–19   COVID: Thailand dalam proses tambah permerolehan vaksin | COVID-19: Lagi varian baharu ditemukan di Indonesia | COVID: 929,435 individu di Sarawak dijangka terima vaksin fasa kedua | PKPD di beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan dan Sabah bermula esok | PKPD di beberapa kawasan di Sarawak, Kelantan dan Sabah bermula esok | 
DUNIA

Pertemuan Duta Malaysia tidak gambarkan pengiktirafan terhadap Junta Myanmar

08/04/2021 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 8 April  -- Mesyuarat dihadiri Duta Malaysia Datuk Zahairi Baharim di Kementerian Tenaga dan Elektrik (MOEE) di Nay Pyi Taw pada Rabu, tidak menunjukkan bahawa ia satu pengiktirafan atau sebaliknya terhadap Majlis Pentadbiran Myanmar (SAC).

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata pertemuan itu diadakan bagi menyampaikan keputusan PETRONAS Carigali Myanmar (Hong Kong) Ltd (PCML) kepada MOEE bahawa ia menggantung sementara operasi utama projek gas Yetagun.

"Pendirian Malaysia terhadap Myanmar jelas dan konsisten. Kami sentiasa mendesak dihentikan segera keganasan, pembebasan segera tanpa syarat tahanan politik, dan penerusan dialog inklusif membabitkan semua pihak untuk transisi politik dan penyelesaian aman terhadap krisis berterusan di Mynmar serta rakyatnya," menurut kenyataan Wisma Putra pada Khamis.

Kementerian berkata, Malaysia akan meneruskan pembabitan konstruktif dengan semua pihak yang berkepentingan ke arah matlamat itu.

Dilaporkan PCML menghentikan operasinya di medan Yetagun pada 1 April sehingga keputusan baharu dibuat berikutan kemerosotan pengeluaran gas di lapangannya di Blok M12, M13 dan M14 yang terletak di Laut Andaman, perairan Myanmar.

Kehadiran Zahari di MOEE menyebabkan netizen di Myanmar mempersoalkan sama ada Malaysia mengiktiraf SAC manakala beberapa pemimpin politik di Malaysia menyuarakan kegusaran mereka kerana ia bercanggah dengan pendirian negara dan serantau terhadap rejim junta.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan