BERITA COVID–19   SIC diarah tangguh semua kejohanan drag | Kluster Jalan Canning Estate: Bazar Ramadan Stadium Perak dikawal ketat | COVID: 607 kes positif baharu, angka tertinggi direkod di Sarawak | Empat lokaliti di tiga daerah di Sabah, empat kampung di Pahang dikenakan PKPD esok | WHO terbit garis panduan sempena perayaan keagamaan | 
DUNIA

Sekatan Barat dilihat tidak mampu pulihkan demokrasi di Myanmar - Laporan

08/04/2021 02:38 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 8 April -- Tekanan diplomatik dan sekatan yang agak lemah oleh Barat dilihat tidak memberikan kesan untuk memulihkan demokrasi di Myanmar, memetik laporan.

Tinjauan Fitch Solutions Country Risk and Industry Research, agensi di bawah Fitch Solutions Group Ltd mendapati sekatan ke atas pegawai tertinggi tentera, individu berkaitan, entiti perniagaan selain menghentikan dan membekukan dana awam kemungkinan tidak berkesan.

Usaha untuk melumpuhkan akses kepada dana menjadi cabaran besar kerana tentera Myanmar masih boleh memperoleh bantuan kewangan dari dua konglomerat - Myanmar Economic Holdings Public Company Limited dan Myanmar Economic Corporation.

"Entiti-entiti ini aktif di banyak sektor ekonomi termasuk pengangkutan, pelancongan dan perbankan, menyediakan tentera dana berbilion dolar sejak 1990, menurut Amnesty International.

"Malah ketika pandemik melanda yang menjejaskan pendapatan pengangkutan dan pelancongan, angkatan tentera masih memiliki hasil cukai daripada minyak dan gas," kata laporan itu.

Menurut Kementerian Elektrik dan Tenaga, Myanmar sudah memberikan 38 blok minyak dan gas luar pesisir kepada syarikat seperti Royal Dutch Shell Plc, Total SE, Woodside Petroleum Ltd., China National Petroleum Corp., Reliance Industries Ltd. dan Eni SpA, sejak tiga dekad lalu.

Pada awal April tahun ini, Total SE berkata syarikat itu masih menghasilkan gas di Myanmar dan membayar cukai kepada junta untuk melindungi pekerjanya daripada dijadikan buruh paksa dan dipenjara.

Syarikat itu juga menyediakan bekalan elektrik ke bandar Yangon dan barat Thailand. 

Pada 1 Februari lalu tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint dan pemimpina kanan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Berikutan itu Myanmar dilanda tunjuk perasaan yang mencetuskan pertumpahan darah. 

Fitch Solutions meramalkan pergolakan politik di Myanmar akan berlarutan selama bertahun-tahun, keadaan akan bertambah buruk sebelum dapat pulih seperti biasa. 

"Kami jangka Myanmar mungkin menjadi negara yang gagal dalam tempoh jangka sederhana. Kami berpendapat dengan meningkatnya keganasan terhadap orang awam dan etnik militia menunjukkan tentera semakin hilang pertimbangan.

"Dengan kakitangan sektor swasta dan awam tidak datang bekerja,ekonomi juga akan merudum," katanya.

Laporan itu turut mendedahkan kemungkinan risiko berlakunya satu lagi perang saudara/pemisah dan apakah kebangkitan rakyat mampu untuk meranapkan kerajaan tentera.

"Apakah tentera akan muncul sebagai pemenang, kami percaya bahawa Myanmar, terutama setelah pertumpahan darah dan jenayah perang oleh tentera, negara ini mungkin akan mengalami nasib yang sama dengan Korea Utara dan dipulaukan kebanyakan masyarakat antarabangsa," tambah laporan itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan